KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini membenarkan saman pemula yang dikemukakan oleh 65 Orang Asli suku kaum Jakun bagi menghalang penjualan 57 unit kondominium di Lanai Gurney, Keramat yang merupakan aset tabung amanah mereka.
Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membenarkan permohonan mereka untuk mengetepikan perintah mahkamah pada 2023 berhubung penjualan kondominium oleh RHB Trustees Berhad.
Dalam saman pemula itu, kumpulan Orang Asli tersebut dinamakan sebagai pemohon manakala RHB Trustees Berhad yang merupakan pemegang amanah Linggiu Valley Orang Asli (Jakun) sebagai responden pada prosiding semalam.
Mahkamah turut memerintahkan sebarang penjualan dan pindah milik kesemua 57 unit kondominium yang dipegang di bawah hak milik strata perlu dijual dengan harga nilai pasaran serta melalui tender terbuka atau lelongan awam.
Selain itu mahkamah memerintahkan penjualan dan pindah milik kesemua 57 unit tersebut hendaklah dikendalikan oleh perunding-perunding bebas termasuk peguam, penilai serta ejen harta pusaka selain tiada perintah berkenaan kos.
Peguam Rabia Abd Halim dibantu Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim yang mewakili pemohon mengesahkan keputusan tersebut kepada wakil media hari ini.
Semalam lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kecoh seketika apabila berlaku pertikaman lidah di antara Siti Kasim dengan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob sehingga menarik perhatian ramai.
Kejadian itu disaksikan oleh wakil media yang ketika itu menanti sidang akhbar peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkaitan isu titah adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Kedua-dua pihak dilihat saling meninggikan suara dan melemparkan kata-kata kurang enak sehingga terpaksa dileraikan oleh kakitangan mahkamah.
Dalam saman pemula yang difailkan pada 16 Julai 2024, pemohon menyatakan responden enggan, cuai dan gagal untuk memaklumkan kepada mereka untuk menjual 57 unit kondomonium dan persetujuan tidak diperolehi daripada mereka.
Pemohon-pemohon menyatakan perintah jualan bertarikh 20 Jun 2023 untuk penjualan 57 unit kondomonium tidak dibuat secara adil.
Menurut pemohon, berdasarkan laporan penilaian hartanah tersebut harga pasaran agregat adalah RM17.1 juta.
Namun terdapat perjanjian antara pemegang amanah dan ejen hartanah bahawa harga penjualan dinaikkan kepada RM19 juta tetapi hanya RM12 juta diberikan kepada Tabung Amanah manakala RM7 juta akan digunakan sebagai kos pengubahsuaian.
“Sebanyak RM7 juta di mana baki duit diberikan ejen hartanah kononnya untuk mengubah suai hartanah itu, sebaliknya ia percubaan untuk melucutkan hak Orang Asli,” kata pemohon-pemohon dalam alasan permohonan itu.
Pemohon berkata penjualan 57 unit kondominium itu seharusnya dijalankan secara jualan lelongan awam atau tender terbuka dan dikawal selia oleh mahkamah, bukannya ejen hartanah persendirian memandangkan kondominium tersebut kepunyaan tabung amanah untuk manfaat Orang Asli. – MalaysiaGazette