JOHOR BAHRU – “Cikgu call suruh saya dan isteri datang segera ke hospital swasta berdekatan rumah sebab anak dalam kecemasan.
“Apabila sampai, saya tengok anak sudah terbaring kaku, lemah tidak bernafas, doktor cakap mereka sudah sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa anak saya”.
Demikian cerita bapa kepada kanak-kanak lelaki sebuah tadika yang ditemui mati akibat lemas selepas tertinggal dalam van sekolah di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri semalam.
Teo Jia, 37, yang bekerja di Singapura menerima maklumat kejadian yang menimpa Yu Zie, 5, pada pukul 1 tengah hari selepas dihubungi guru tadika sekolah anaknya.
Beliau amat terkilan dan kecewa dengan kecuaian pemandu serta pihak pengurusan pusat asuhan terbabit.
Dia sukar menerima kenyataan kecuaian orang lain menyebabkan dia kehilangan anak tunggalnya.
Teo memberitahu, sebelum kejadian itu, anaknya dijemput pemandu van berusia 57 tahun di kediamannya di Taman Bukit Indah pada pukul 7.15 pagi.
Katanya, pada kebiasaannya, van sekolah akan tiba di tadika yang terletak dua kilometer dari kediamannya pukul 8.15 pagi.
“Selepas sampai, pemandu van turunkan budak-budak masuk sekolah dan akan tinggalkan van berhampiran tadika sebelum pulang ke rumah dengan menaiki motosikal.
“Mungkin anak saya tertidur masa itu, pemandu van mungkin tidak menyedarinya, tahu-tahu dalam pukul 12 tengah hari jumpa anak sudah tidak bernyawa di bahagian pintu van, mungkin nak keluar tapi tak dapat.
“Saya kecewalah, sepatutnya pemandu van periksa betul-betul dan pastikan budak-budak semua turun baru boleh tutup atau balik.
“Pihak tadika juga cuai, sepatutnya semak kehadiran, kalau budak tak datang ke apa, hubungi keluarga tanya anak dekat mana ke apa,” katanya.
Menurutnya, dia menghantar anaknya itu ke tadika berkenaan sejak tiga tahun lalu ketika mangsa berusia dua tahun.
Dua tahun sebelum ini dia atau isterinya akan menghantar sendiri anaknya ke tadika namun sejak pertengahan tahun lepas dia menggunakan perkhidmatan van sekolah.
Teo berharap pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas apa yang berlaku.
Dia tidak mahu kes menimpa anaknya itu berlaku ke atas orang lain.
Mendiang Yu Zie akan dikebumikan di Nirvana Memorial Park Christian Kong Kong, Masai, Pasir Gudang. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: