KUALA LUMPUR – Pelawak, Saiful Apek tampil menjelaskan mengenai foto yang tular memaparkan dirinya ditahan pihak polis baru-baru ini.
Apek atau nama sebenar Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 56, berkata, gambar tersebut diambil ketika pihak polis sedang meleraikan pertelingkahan antaranya dengan seorang individu.
Jelasnya, pertikaian lidah tersebut cetus kerana individu berkenaan memperlekehkan filem lakonan 6 Jilake dan pengarah naskhah itu, Aziz M Osman.
“Individu dalam foto itu memang saya cuma situasi sebenarnya saya bukan ditahan tapi sebaliknya pihak polis sedang meleraikan salah faham. Tapi saya bukan bergaduh, memang ya nampak dalam gambar macam bergaduh tapi tidak.
“Apa yang membuatkan saya terusik apabila dia sebut nama abang saya, Aziz serta mendakwa filem lakonan saya, 6 Jilake adalah sampah.
“Kalau setakat sebut nama saya, saya masih boleh kawal tapi ini membabitkan individu yang saya anggap sebagai sifu,” katanya ketika ditemui di majlis Terbaek Raya MStar di Kuala Lumpur semalam.

Tambah salah seorang nggota Senario itu lagi, insiden berkenaan terjadi ketika dia menghadiri majlis rumah terbuka yang dianjurkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di Cheras pada Isnin lalu.
“Ketika kejadian saya hadir ke rumah terbuka Tan Sri Razarudin, tiba-tiba ada seorang individu yang tak dikenali membuat provokasi berkenaan filem itu sehingga saya hilang sabar.
“Saya pun bangun dan beredar kerana tidak mengganggu majlis. Saya ingatkan habis di situ tapi bila saya ke parkir kereta, individu masih melakukan provokasi sehingga datangnya pihak polis meleraikan pertelingkahan kami,” tambahnya.
Bagaimanapun Apek sudah memohon maaf kepada keluarga dan sahabat yang turut terpalit dalam kontroversi berkenaan.-MalaysiaGazette