JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Columbia di Iskandar Puteri semalam, kini berada dalam keadaan stabil.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan, Suhaizan stabil selepas selamat menjalani pembedahan membuang hempedu yang dilakukan di hospital swasta berkenaan hari ini.
Aminolhuda yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan Suhaizan.
“Amanah Johor bersyukur kerana keadaan Suhaizan Kaiat semakin baik selepas menjalani prosedur pembedahan membuang hempedu.
“Kami juga berterima kasih kepada semua yang memainkan peranan termasuk pasukan perubatan, pegawai Parlimen Pulai, petugas Amanah Johor, ketua masyarakat dan individu perseorangan yang menjaga serta menguruskan keselamatan dan kesihatan Suhaizan” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Amanah Johor turut menghargai keprihatinan rakan-rakan Suhaizan termasuk Konsul Jeneral Republik Singapura, Ng Kuan Khai; Ahli Parlimen Skudai, Liew Chin Tong serta beberapa pemimpin setempat lain.
Semalam portal ini melaporkan Suhaizan dimasukkan ke ICU malam Isnin selepas paras oksigennya menurun akibat jangkitan kuman.
Bagaimanapun, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Naib Pengerusi Amanah Johor itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih memerlukan pemantauan berterusan.
Susulan itu, Amanah Johor meminta orang ramai menghentikan penyebaran spekulasi serta maklumat tidak sahih berhubung keadaan kesihatan Suhaizan.
“Penyebaran maklumat tidak tepat hanya menimbulkan panik serta mencetuskan pelbagai persepsi mengelirukan,” jelasnya.- MalaysiaGazette















