Sebahagian peserta program Santai Anak Muda: Vintage Vroom Vroom Vroom anjuran kelab Project Next Gen Z di Pusat Perdagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Malam di ibu kota hari ini lebih bergaya dan bermakna apabila lebih 200 anak muda dari pelbagai latar belakang menyertai program ‘Malam Santai Anak Muda: Vintage Vroom Vroom Vroom’ anjuran Kelab Project Next Gen Z.

Ini merupakan sebuah inisiatif yang menggabungkan semangat komuniti, kepimpinan belia dan aktiviti sosial dalam bentuk konvoi motosikal amal.

Dari Menara Dato’ Onn, konvoi ini meluncur melalui beberapa kawasan ikonik seperti Chow Kit dan KLCC, bukan sekadar untuk menikmati suasana malam tetapi turut menghulurkan sumbangan makanan dan keperluan asas kepada golongan yang memerlukan di sepanjang laluan.

Menurut Penasihat Project Next Gen Z merangkap Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, program ini  bukti denyut nadi perubahan negara terletak pada langkah berani anak muda.

Nurul Amal Mohd Fauzi bercakap pada sidang media selepas program Santai Anak Muda: Vintage Vroom Vroom Vroom anjuran kelab Project Next Gen Z di Pusat Perdagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 MEI 2025

“Ride malam ini bukan sahaja simbol gaya hidup anak muda, tetapi juga cerminan jiwa besar mereka yang prihatin terhadap masyarakat.

“Sambil berkonvoi, kita juga singgah beri sumbangan kepada komuniti yang memerlukan inilah kepimpinan berasaskan nilai, bukan populariti semata-mata,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kata Nurul Amal, kelab Project Next Gen Z menghimpunkan golongan muda dari pelbagai latar belakang termasuk penggiat seni, pelajar institusi seni, atlet dan aktivis sosial menjadikan ia satu platform inklusif untuk menyemai semangat kepimpinan dan kesukarelawanan.

“Kalau hendak tahu ke mana haluan negara, tengoklah ke mana arah anak muda kita melangkah. Mereka ini tidak tunggu untuk jadi YB di Parlimen, mereka dah mula memimpin dari bilik darjah, komuniti, bahkan media sosial. Malam ini buktinya,” katanya teruja.

Konvoi ‘Vintage Vroom Vroom Vroom’ ini turut menampilkan kelab-kelab motor tempatan termasuk pemilik Vespa klasik dan skuter moden dengan penyertaan seimbang antara penunggang lelaki dan wanita.

“Saya seronok lihat kepelbagaian peserta ada yang datang dengan Vespa cantik, ada dengan skuter. Tapi semua dengan satu semangat, mahu menyumbang kepada masyarakat. Inilah Malaysia yang kita mahu iaitu belia yang bersatu, bukan hanya berhibur tetapi berbakti,” ujarnya.

Dipilih untuk berlangsung sempena Hari Pekerja, program ini juga membawa simbolik bahawa setiap individu, tidak kira status pekerjaan atau peranan, adalah pemikul tanggungjawab dalam membina negara.

“Kita semua ada kerja, sebagai anak, pelajar, atau pekerja. Dan kita kena pikul amanah itu dengan tanggungjawab. Walaupun esok kerja, malam ini kita raikan semangat bersama dan memberi,” kata Nurul Amal lagi.

Antara peserta program Santai Anak Muda: Vintage Vroom Vroom Vroom anjuran kelab Project Next Gen Z di Pusat Perdagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 MEI 2025

Ditubuhkan belum genap setahun, Kelab Project Next Gen Z sudah menganjurkan pelbagai aktiviti berbentuk sukan, seni persembahan, dan kini aktiviti permotoran amal.

“Kita tidak warisi negara ini daripada nenek moyang, kita pinjam dari anak cucu kita. Maka wajib kita latih anak muda hari ini untuk menjadi pemimpin yang bijak dan berjiwa rakyat.

“Dengan sambutan hangat dan penyertaan luar jangka, malam santai ini membuktikan anak muda bukan hanya masa depan negara mereka adalah peneraju perubahan hari ini,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here