KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus bekerjasama dengan Basel Action Network (BAN) khususnya dalam komitmen untuk membanteras pengimportan haram e-waste dan plastik, khususnya dari negara maju.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perbincangannya bersama Pengarah Eksekutif dan pengasas BAN Jim Puckett pada Persidangan Konvensyen Basel, Rotterdam dan Stockholm (Meetings of the Conferences of the Parties to the Basel, Rotterdam and Stockholm Conventions – BRS COPs) yang berlangsung di Geneva menumpukan usaha negara untuk memintas dan menghantar pulang kontena sisa haram serta kepentingan kerjasama dalam perkongsian maklumat serta penguatkuasaan serantau.

“Malaysia perlu memainkan peranan aktif terutamanya di peringkat antarabangsa bagi menjaga kepentingan negara dalam usaha menangani isu-isu pencemaran alam sekitar khususnya pengawalan pergerakan sisa berbahaya dan pengimportan bahan kimia berbahaya rentas sempadan.

“Komitmen seumpama ini akan memastikan Malaysia terus memberi perhatian khusus kepada isu-isu yang dirundingkan bagi memastikan Malaysia berada dalam landasan yang tepat dalam memelihara kesejahteraan manusia dan alam sekitar,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, Nik Nazmi memaklumkan persidangan yang dihadirinya itu bermula 28 April hingga 9 Mei 2025.

Katanya, ketika persidangan beliau turut mengetengahkan harapan dan usaha Malaysia dalam menangani pencemaran bahan kimia dan sisa merentas sempadan.

“Kehadiran saya ke Mesyuarat Peringkat Tinggi BRS COPs ini adalah sebagai komitmen tinggi Malaysia terhadap isu kawalan pergerakan rentas sempadan bagi sisa berbahaya dan pelupusannya memandangkan Malaysia merupakan antara negara membangun yang aktif dan lantang dalam menyuarakan pendirian dan pandangan di meja rundingan terutama bagi kawalan kemasukan sisa berbahaya dan bahan berbahaya ke dalam negara,” jelasnya.

Selain itu beliau memaklumkan sempat bertemu dengan rakan sejawat dari Qatar, Dr. Abdullah bin Abdulaziz Turki Al Subaie untuk membincangkan peluang kerjasama melalui memorandum persefahaman dalam bidang alam sekitar dan perubahan iklim.

Sebagai rekod, BRS COPs merupakan tiga perjanjian utama berkaitan pengurusan bahan kimia dan sisa berbahaya. Konvensyen Basel menekankan pengurangan penjanaan sisa berbahaya dan kawalan pergerakan sisa dan bahan kimia berbahaya rentas sempadan.

Konvensyen Rotterdam pula mengawal perdagangan antarabangsa bahan kimia berbahaya manakala Konvensyen Stockholm pula berkaitan kawalan terhadap bahan kimia Persistent Organics Pollutants (POPs). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here