KUALA LUMPUR – Pelaksanaan perubahan had umur belia dari 40 kepada 30 tahun berkuat kuasa 1 Januari depan dikhuatiri memberi implikasi besar terhadap kelangsungan kepimpinan belia dan struktur organisasi di pelbagai peringkat.
Presiden Majlis Kelab Bell Belia Tamil Malaysia (MKBBTM), Murugan Maniam berkata, pembentukan pemimpin bukan sekadar soal usia, bahkan merangkumi kematangan, pengalaman dan kestabilan kehidupan.
“Sebagai entiti yang telah lama berakar umbi dan bergerak secara profesional dalam masyarakat, pertubuhan-pertubuhan belia terbukti berperanan aktif dalam membentuk sahsiah generasi muda.
“Malah ia dapat membendung pengaruh negatif termasuk ekstremisme agama dan perkauman, serta menyemai semangat kenegaraan di peringkat akar umbi.
“Malangnya, pemotongan drastik had umur ini akan mewujudkan jurang kepimpinan, sekali gus merencatkan kesinambungan organisasi yang telah dibina bertahun lamanya,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan had umur 30 tahun bagi belia di Malaysia akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 dan had umur belia ketika ini ialah 40 tahun.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kerajaan menetapkan tarikh kuat kuasa bagi Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602] pada 1 Januari 2026.
Dalam pada itu, Murugan juga berkata, jika langkah itu diteruskan, penyertaan belia dalam pembangunan komuniti dan proses demokrasi akan terus merosot.
“MKBBTM menyarankan agar Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia menilai semula pelaksanaan ini secara menyeluruh.
“Bukti jelas telah terpamer melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan PRN 2023, pengundi muda memainkan peranan signifikan dalam mencorak hala tuju negara.
“Adalah tidak wajar untuk mengecilkan ruang penyertaan mereka melalui keputusan tergesa-gesa yang tidak mempertimbangkan realiti akar umbi,” katannya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar had umur transisi kepada 35 tahun sebagai tempoh peralihan rasmi sekurang-kurangnya selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) menjelang akhir 2027.
Selain itu, katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu membenarkan penubuhan kelab-kelab belia di sekolah menengah bermula dari tingkatan tiga dan ke atas.
“Memberikan akses kepada pertubuhan belia ke sekolah-sekolah bagi tujuan promosi, perekrutan dan pengenalan pertubuhan belia di bawah naungan Majlis Belia Malaysia (MBM).
“Menyesuaikan pendekatan penglibatan belia dengan konteks tempatan, memandangkan kajian mendapati golongan muda hanya bersedia memimpin apabila mencapai kestabilan dalam kerjaya dan kehidupan,” katanya.
Katanya lagi, takrifan umur belia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu antara 15 hingga 24 tahun tidak wajar diterapkan secara mutlak dalam konteks Malaysia.
“Realiti sosio ekonomi dan budaya tempatan memerlukan pendekatan lebih anjal, inklusif dan berperingkat agar pembangunan kapasiti belia dapat dijalankan secara mampan.
“Maka adalah penting untuk meletakkan asas kukuh bagi pertumbuhan kepimpinan belia, bukan dengan mengehadkan ruang mereka, tetapi dengan memupuk, membimbing dan membina,” katanya lagi. – MalaysiaGazette