Muhammad Haziq Azfar
Haziq Azfar Ishak

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia membidas kritikan Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid berhubung langkah Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mengambil cuti seketika daripada tugasan rasmi.

Pengarah Komunikasi AMK, Haziq Azfar Ishak berkata, teguran itu sebagai satu bentuk pengiktirafan tidak langsung terhadap sumbangan cemerlang Rafizi dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Pertikaian ini hakikatnya adalah pengiktirafan jelas oleh pembangkang terhadap impak positif yang dilakukan oleh Sdr Rafizi yang berperanan sebagai Menteri Ekonomi bersama-sama pasukan dalam Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Sdr Anwar Ibrahim,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Haziq Azfar berkata, dasar-dasar ekonomi jangka panjang seperti Dasar Ekonomi Madani, Dasar Gaji Progresif, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) telah dirangka dengan jelas bagi menghadapi cabaran masa hadapan.

“Jadi, usahlah bimbang. Segala perancangan telah digerakkan untuk memastikan Malaysia kekal kalis terhadap sebarang cabaran termasuk kesan perang tarif yang mungkin berlaku semula jika Donald Trump kembali berkuasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Haziq turut menyindir kerajaan terdahulu apabila menyatakan tiada siapa yang mempertikaikan menteri-menteri Perikatan Nasional walaupun kehadiran mereka dikatakan tidak membawa sebarang impak.

“Contohnya, tiada siapa yang tanya kelibat Tuan Guru Haji Hadi Awang sebagai Duta Khas Bertaraf Menteri walaupun keberadaannya sentiasa tidak ada kerana beliau langsung tidak meninggalkan impak atau memberi nilai tambah kepada negara,” katanya.

Semalam, media melaporkan Harris Idaham dipetik berkata, Rafizi yang dilaporkan bercuti selama sebulan sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab, lebih-lebih lagi ketika negara sedang berdepan cabaran ekonomi dan dasar.

Menurutnya, ketika ini, Malaysia sedang menghadapi peperangan dagang akibat pengumuman kenaikan tarif import ke Amerika Syarikat sebanyak 24 peratus.

Harris turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar membatalkan kelulusan cuti Rafizi kerana negara memerlukan anggota Jemaah Menteri khususnya dalam bidang ekonomi untuk terus berkhidmat dan mencari penyelesaian terbaik bagi cabaran semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here