KUALA LUMPUR – Dua anggota polis direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM5,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan aktiviti perjudian dan narkotik.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 11 Mei 2025 terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Terengganu pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki telah ditahan antara kira-kira jam 12.30 tengah hari hingga 2 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.
“Siasatan awal mendapati suspek pertama yang berusia 50-an dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar bulan Ogos 2024 dengan meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM3,000 daripada seorang individu sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan aktiviti perjudian dan juga narkotik.
“Suspek kedua yang berusia 40-an pula dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar bulan Disember 2022 hingga Mei 2023 dengan meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM2,000 daripada seorang individu sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan narkotik,” katanya.
Tambah sumber, kedua-dua suspek disyaki menerima suapan secara tunai dan juga melalui transaksi pindahan ke akaun bank milik masing-masing.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette