Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz hadir pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 05 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Asas ekonomi yang kukuh telah meletakkan Malaysia dalam keadaan yang terkawal bagi menangani sebarang kejutan luaran dan tantangan kitaran ekonomi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri turut memberi jaminan, usaha yang berterusan dalam membina daya tahan ekonomi domestik membolehkan kita mencapai kestabilan ekonomi dengan ruang fiskal yang mencukupi.

Menurut beliau, ia telah membantu negara untuk berhadapan dengan sebarang krisis ekonomi dan kewangan.

“Kerajaan yakin policy response (respons polisi)yang berasaskan data dan terancang berupaya menangani ketidaktentuan semasa. Mekanisme pemantauan telah diaktifkan dan tindakan bersasar akan dilaksana mengikut keperluan bagi membantu rakyat dan perniagaan yang
terjejas.

“Walhasil, yang pasti kita tidak dapat mengelak daripada tempias pergolakan geopolitik melalui perang perdagangan antara ekonomi besar dunia.

“Di sebalik cabaran ini, ia memberi kita peluang baharu untuk mewujudkan jalinan kerjasama ekonomi yang lebih erat di peringkat ASEAN serta rakan dagangan utama yang lain.

“Dalam titik bersejarah ini, kita seharusnya menepikan perbezaan antara kita dan bersatu hati menghadapi tantangan semasa,” katanya pada Sidang Khas Dewan Rakyat di sini hari ini.

Anwar menambah, kerajaan akan terus mempergiat pelaksanaan agenda Ekonomi Madani dengan tumpuan memperkukuh daya saing, mensejahtera rakyat, dan meningkatkan kemampanan fiskal.

Perdana Menteri berkata, hanya dengan pendekatan itu, kerajaan berupaya untuk membawa Malaysia kekal berada di landasan yang mampan dan berdaya tahan dalam jangka masa sederhana dan panjang.

“Kita tidak memilih jalan mudah. Kita tidak menyerah kepada tekanan. Kita memilih untuk berunding secara berprinsip, demi mempertahankan pekerjaan rakyat, pelaburan masa hadapan dan kedaulatan ekonomi negara.

“Inilah erti kepimpinan sebenar, bukandengan retorik, tetapi dengan keputusan strategik yang berani dan berpaksikan kepentingan negara.

“Dengan izin Allah dan sokongan rakyat, Malaysia akan terus melangkah gagah sebagai negara yang bermaruah, berdaya saing dan progresif di pentas dunia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here