Anggota maritim dan pasukan keselamatan membawa mayat seorang pemancing yang ditemui lemas di perairan Parit Hailam, Senggarang, Batu Pahat semalam.

BATU PAHAT – Seorang pemancing maut tercampak dalam laut manakala tujuh lagi berjaya diselamatkan selepas kelong runtuh dipukul ribut dalam kejadian di perairan Parit Hailam, Senggarang, dekat sini semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 3 pagi semasa mereka menyewa kelong berkenaan dan memancing di perairan itu.

“Ketika memancing berlaku insiden  angin kencang dan ombak besar. Mangsa, Mohd Faizal Mohd Nor, 45, kemudian tercampak ke laut sebelum hilang selepas ketika kelong berkenaan ranap.

“Tujuh lagi pemancing melibatkan empat warga tempatan dan tiga warga Indonesia berusia antara 31 hingga 52 tahun, sempat menyelamatkan diri namun terpaksa berpaut  pada tiang kelong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat segera digerakkan Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru sejurus menerima maklumat kejadian.

Beliau berkata, mereka berjaya diselamatkan Bot Petir 51 dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

Mohammad Zaini berkata, mayat ditemukan 3.46 petang semalam di bawah runtuhan kelong oleh pasukan bomba.

Tambahnya, operasi tersebut juga melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta nelayan tempatan.

“Maritim Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi berkenaan, selain menasihati komuniti maritim agar lebih berwaspada terhadap keadaan cuaca tidak menentu ketika melakukan aktiviti laut,” ujarnya.

Sebarang kejadian kecemasan di laut katanya, boleh dilaporkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau melalui panggilan kecemasan 999.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here