KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mempertimbangkan pengenalan pakej insentif khas kepada perniagaan yang terjejas berikutan tarif Amerika Syarikat (AS) selepas meneliti impaknya serta kesan kepada kedudukan fiskal negara.
Menteri berkenaan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan akan memberi fokus kepada rundingan timbal balas dengan AS bermula hari ini yang membawa objektif utama supaya tiada tarif dikenakan ke atas negara terutamanya dalam sektor penting.
“Kita mungkin memberi tempoh sehingga Julai kerana pada masa ini kita memberikan fokus kepada perbincangan dengan AS. Apa-apa sahaja hasil (daripada mesyuarat ini) kemudian, kita akan mengetahui impaknya.
“Pada masa ini, kita tahu impaknya adalah tarif asas ke atas Malaysia sebanyak 10 peratus. Bagaimanapun, pada masa sama ada sektor yang tidak dikenakan tarif. Sebaik sahaja kita tahu (selepas rundingan tamat).. siapa yang terkesan, syarikat mana yang terkesan dan rantaian bekalan mana yang terkesan… pada masa itulah kita boleh membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab bersempena sidang media pengumuman kad laporan prestasi MITI suku pertama 2025 di sini hari ini. – BERNAMA