PETALING JAYA – Dr. Rushdi Ramli hari ini menolak permohonan cerai yang difailkan oleh isteri keduanya yang juga penyanyi terkenal, Datuk Nora Ariffin.
Susulan penolakan itu, Nora berkata, proses seterusnya adalah sebutan kali kedua bagi pelantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang akan berlangsung 4 Jun depan.
Ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Nora berkata, tujuannya memohon cerai bukanlah untuk bermusuhan dengan Rushdi atau menciptakan ‘drama’ dalam perkahwinannya.
Sebaliknya, pelantun lagu Di Persimpangan Dilema itu menambah, langkah tersebut merupakan jalan terakhir demi menamatkan kemelut yang didalangi oleh ‘anasir’ yang disifatkannya sebagai pihak ketiga.

Katanya, pihak ketiga bukanlah orang baharu dalam perkahwinan poligami antaranya dengan Rushdi.
“Ini bukan drama, tapi bukan nak bergaduh, saya ikuti prosesnya sebab bagi saya, saya tidak perlu drama sebegini saya nak bersihkan nama saya itu yang penting. Saya rasa dia (Rushdi) pun sama.
“Mengalah bukan beerti kita kalah, kadang-kadang kita perlu teruskan langkah, saya sudah lalui macam-macam fasa kehidupan. Kebergantungan saya kepada Allah bukan kepada manusia.
“(Jadi) Terpulang prosesnya nanti, saya rasa lega saya buat apa yang patut saya buat dan memenuhi apa yang orang nak sangat saya buat. Saya akan lepaskan juga cuma keputusan itu bukan pada saya tapi pada suami, dua kuasa mutlak diberi kepada suami iaitu akad nikah dan talak,” katanya kepada pemberita.
Nora memfailkan cerai terhadap suaminya pada 21 April yang lalu.

Beberapa kali mengulangi mahu keluar dari persekitaran yang toksik, penyanyi itu menegaskan, dia sudah penat dan nekad dengan keputusannya selepas mencuba beberapa kali untuk mewujudkan suasana perkahwinan yang harmoni meskipun berpoligami.
“Saya rasa saya terlalu penat untuk melalui semua ini. Saya boleh bertahan tapi sampai bila? Pasti ada kesudahannya. Sebelum ini pun kita sudah cuba berbagai cara, nak bertemu saya pernah kata jangan guna media sosial untuk dijadikan konten tidak baik tapi digunakan (juga).
“Kita sudah buat apa yang patut kita buat tapi tidak jalan. Jadi akhir sekali, ini jalan terakhir.

“Memang saya sudah ubah fikiran saya kepada lebih positif untuk saya teruskan langkah walau memang perit dan sedih. Saya rasa kalau Allah kata jodoh panjang, maka panjanglah tapi kalau Allah kata sampai di sini sahaja, siapa kita untuk menidakkan takdir,” tambahnya yang mendedahkan sebenarnya sudah bersedia jika Rushdi melafazkan talak pada hari ini.
Meskipun teruja mendapat tahu Rushdi masih mahu mempertahankan perkahwinan mereka kerana terbukti suaminya masih menyayanginya, namun Nora berkata, dia sudah tidak mampu meneruskan perkahwinan dalam suasana yang menyulitkan.
Nora juga yakin, penolakan permohonan cerai yang dibuat Rushdi, tidak dipengaruhi oleh sesiapa.
“Seronok juga (masa dia tolak dan mahu pertahankan tadi). Dalam hati kata “oh rupanya dia masih sayang aku” tapi kena fikir langkah seterusnya macam mana sebab saya dengan dia tidak bermusuh dan tidak ada sebab nak benci kepada dia sebab dia terlalu baik. Sebab dia terlalu baiklah jadi perkara begini. Jadi kadang kita tidak suka perkara itu tapi mungkin inilah jalannya,” katanya lagi.
Ditanya mengenai pelbagai dakwaan yang timbul di media sosial selepas mendirikan rumah tangga dengan Rushdi sebagai isteri kedua, Nora juga mengaku namanya sebagai penyanyi sepanjang 30 tahun terjejas akibat pelbagai tuduhan.
“Saya dah lama menyanyi, saya nak teruskan karier nak cari rezeki dan hidup aman. Jadi saya dah buat perkara yang patut saya buat,” katanya.

Sementara itu, peguam mewakili Nora iaitu Sarah Mohd Ali berkata pasangan tersebut perlu melalui proses lantikan JKP sehingga ke hakam sekiranya gagal mencapai keputusan selanjutnya.
Proses hakam bermula apabila suatu permohonan di bawah Seksyen 47 difailkan oleh isteri dan suami enggan menceraikan isteri.
Jika gagal pada proses JKP, maka mahkamah akan mensabitkan shiqaq antara pasangan suami isteri tersebut.- MalaysiaGazette