Sebahagian pelajar Harvard yang terlibat dalam perhimpunan pro-Palestin. Foto Tha Harvard Crimson

WASHINGTON – Universiti Harvard tidak akan lagi menerima geran penyelidikan persekutuan, kata Setiausaha Pendidikan Presiden Donald Trump.

Perkembangan terbaharu ini meningkatkan pertikaian berterusan pentadbiran Trump dengan universiti berprestij itu kerana ia mencabar pemotongan dana di mahkamah.

Setiausaha Pendidikan Linda McMahon, dalam surat yang dihantar kepada Presiden Harvard berkata, universiti itu “tidak perlu lagi mendapatkan geran daripada Kerajaan Persekutuan kerana tiada satu pun akan disediakan”.

“Harvard akan berhenti menjadi institusi yang dibiayai awam,  sebaliknya boleh beroperasi sebagai institusi yang dibiayai persendirian, menggunakan endowmennya yang besar, dan mengumpul wang daripada pangkalan besar alumninya yang kaya,” menurut kandungan surat tersebut.

Walau bagaimanapun, perubahan itu tidak akan menamatkan semua pembiayaan persekutuan kepada Harvard.

Seorang pegawai kanan Jabatan Pendidikan berkata,  hanya pembiayaan penyelidikan akan terjejas. Bantuan kewangan pelajar persekutuan tidak akan terjejas, katanya.

McMahon mendakwa Harvard telah “gagal mematuhi kewajipan undang-undangnya, kewajipan etika dan fidusiarinya, tanggungjawab ketelusannya, dan sebarang kesamaan ketegasan akademik.”

Harvard yang berada pada kedudukan antara universiti terkemuka dunia telah menimbulkan kemarahan Trump selepas enggan mematuhi tuntutannya supaya ia menerima pengawasan kerajaan terhadap kemasukannya, amalan pengambilan pekerja dan kecondongan politik.

Keengganan Harvard memenuhi  tuntutan kerajaan tersebut,  White House bertindak membekukan lebih daripada AS$2 bilion pembiayaan penyelidikan persekutuan universiti pada bulan April.

Malah, Harvard menuduh pentadbiran Trump menceroboh kebebasan akademik mendorong kepimpinan universiti tersohor itu menyaman kerajaan.

Harvard ialah universiti AS terkaya dengan endowmen bernilai AS$53.2 bilion pada 2024.

Langkah terbaharu itu dibuat ketika Trump dan White House bertindak keras terhadap universiti-universiti dalam beberapa bidang, wajar sebagai reaksi terhadap apa yang mereka katakan sebagai anti-Semitisme yang tidak terkawal dan keperluan untuk membalikkan program kepelbagaian yang bertujuan menangani penindasan sejarah terhadap minoriti.

Pentadbiran telah mengancam pembekuan pembiayaan dan hukuman lain, menimbulkan kebimbangan terhadap penurunan kebebasan akademik.

Ia juga telah bertindak membatalkan visa dan menghantar pulang pelajar asing yang terlibat dalam protes serangan Israel ke atas Palestin, menuduh mereka menyokong kumpulan Hamas, yang melakukan serangan 7 Oktober 2023 ke atas rejim zionis hingga  mencetuskan perang. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here