JOHOR BAHRU – Seramai 22 Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor menyokong pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai timbalan presiden parti.
Menerusi satu kenyataan bersama-sama yang dikeluarkan Ketua Cabang Mersing, Khairil Adanan, Nurul Izzah wajar diangkat sebagai simbol semangat reformasi baharu yang diyakini mampu menyatukan parti dan mengangkat suara rakyat ke peringkat tertinggi kepimpinan.
Antara ketua cabang yang menyatakan sokongan tersebut termasuk Ketua Cabang Bakri, Ysahruddin Kusni; Ketua Cabang Pontian, Haniff Ghazali; Ketua Cabang Pulai, Faezudin Puad; Ketua Cabang Iskandar Puteri, Shamala Devi; dan Ketua Cabang Johor Bahru serta Tebrau.
Mereka turut menyeru semua anggota PKR terutamanya di Johor untuk bersatu dalam memperjuangkan hala tuju baharu parti berkenaan melalui kepimpinan yang berintegriti dan inklusif.
“Kami dari selatan tanah air bersedia untuk menggerakkan jentera dan memastikan suara rakyat terus menjadi tunjang perjuangan parti,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Khairil berkata, Nurul Izzah bukan sekadar ‘anak kepada’ tokoh reformasi, tetapi beliau telah membina kredibiliti sendiri sebagai pemimpin progresif yang berani dan berprinsip.
“Kepimpinan beliau selama tiga penggal sebagai Ahli Parlimen membuktikan komitmen terhadap perjuangan rakyat,” katanya.
Jelasnya, Nurul Izzah dianggap sebagai pewaris legasi reformasi 1998 yang telah melalui pelbagai ujian getir termasuk pengalaman keluarganya dalam tahanan politik.
“Kami percaya beliau adalah pemimpin yang mampu membawa penyatuan dalam parti melalui pendekatan diplomasi dan idealisme segar, menyambung kesinambungan perjuangan PKR dari akar umbi ke puncak,” katanya. – MalaysiaGazette