KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) Hulu Selangor secara terbuka telah menyuarakan kekecewaan terhadap kelewatan kerajaan Negeri Selangor menyelesaikan isu pelantikan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam yang masih belum dimuktamadkan sehingga sekarang.
Naib pengerusinya, Syafiq Musa berkata, isu itu telah dibangkitkan berulang kali kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Kami sebelum ini dimaklumkan pelantikan tersebut akan diselesaikan selewat-lewatnya pada suku pertama tahun 2025.
“Bagaimanapun, selepas memasuki bulan Mei, tiada sebarang pengumuman rasmi atau tindakan konkrit daripada pihak kerajaan negeri berhubung perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Syafiq, isu berkenaan telah berulang kali dibangkitkan kepada Amirudin kerana penangguhan pelantikan memberi kesan langsung kepada usaha menyampaikan khidmat kerajaan negeri kepada rakyat di DUN Hulu Bernam.
Ia kerana kawasan itu merupakan tempat yang tidak dimenangi oleh mana-mana parti komponen Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, justeru pelantikan Penyelaras DUN menjadi keperluan penting bagi memastikan kesinambungan khidmat kepada rakyat.
“Sebagai parti komponen utama dalam Kerajaan Perpaduan, kami menuntut agar janji pelantikan itu segera ditunaikan. Pelantikan Penyelaras DUN adalah hak politik yang sepatutnya diagihkan secara adil dan saksama bukan sekadar janji yang ditangguh-tangguhkan,” tegasnya.
Beliau turut berharap Amirudin akan meneliti perkara ini dengan serius dan mengambil tindakan segera dalam semangat setiakawan serta prinsip keadilan politik. – MalaysiaGazette