PASIR GUDANG – “Arwah kata ini hiking yang terakhir. Selepas itu tidak mahu pergi lagi. Tapi rupa-rupanya betul-betul kali terakhir”.
Demikian cerita anak Allahyarham Rennie Abdul Ghani, Mohamad Akashah, 29, berkenaan keterujaan bapanya sebelum mendaki Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia bermula 1 Mei lalu bersama-sama kumpulan seramai 23 orang pendaki.
Mohamad Akashah berkata, bapanya yang berusia 57 tahun itu sangat bersemangat untuk melakukan pendakian kali ini dan Gunung Rinjani adalah gunung pertama di luar negara dilakukan pendakian.
“Ayah sudah mendaki semua gunung di Malaysia dan tidak mahu mendaki lagi selepas pergi ke Gunung Rinjani dan ayah sangat teruja untuk pergi ke sana.
“Kami sekeluarga sedih tetapi reda kerana dia pergi dalam keadaan gembira sebab Gunung Rinjani adalah wishlist gunung yang terakhir hendak didakinya,” ujarnya.
Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa bapanya sebelum arwah bertolak ke Lombok.
“Saya bertemu arwah bapa di rumahnya di sini tetapi tidak mengiringinya sehingga ke sana. Ayah naik bas dari Larkin sebelum menaiki penerbangan ke Lombok,” katanya.
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata demikian ketika ditemui selepas selesai upacara pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah, Cahaya Masai di sini pukul 7.20 pagi tadi.
Mohamad Akashah lega kerana semua urusan menguruskan jenazah lancar di Lombok sehingga jasad bapanya diterbangkan pulang ke taman air dan selamat disemadikan hari ini.
“Semua pihak sangat membantu dan melancarkan urusan perjalan pulang ayah, dari pihak Indonesia sehingga pulang ke tanah air, Alhamdulillah perjalanan terakhir ayah berjalan lancar,” katanya.
Terdahulu jenazah disembahyangkan selepas solat Subuh diimamkan anak sulungnya, Mohamad Akashah di Surau Raudhatul Jannah, Taman Sierra Perdana, Masai di sini.
Allahyarham yang bekerja sebagai jurutera meninggalkan seorang balu, Mastura Tawap, 53, dan tiga anak iaitu Mohamad Akashah, Syafaatul Amirah, 28 dan Anisa Sofea, 20.
Terdahulu, van jenazah yang membawa jasad Allahyarham tiba di pekarangan rumah di D’Sierra Ville, Taman Sierra Perdana di sini sekitar pukul 3 pagi.
Jenazah Allahyarham berlepas dari Lombok, Indonesia pada 6 petang sebelum dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira pukul 9.26 malam tadi.
Kelmarin media melaporkan jenazah Rennie selamat dibawa keluar dari lokasi pada 8.30 malam, Ahad lalu (waktu Malaysia) dan tiba di Hospital Bayangkara Mataram terbabit pukul 11 malam.
Allahyarham dilaporkan maut selepas terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani ketika melakukan pendakian di gunung berkenaan.
Pihak taman negara berkenaan menjelaskan, mangsa dilaporkan terjatuh di kawasan Banyu Urip oleh seorang jurupandu daripada agensi pendakian, Juan Adventure Rinjani.
Mangsa memulakan pendakian melalui laluan Sembalun pada 1 Mei bersama-sama kumpulan seramai 23 orang pendaki.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: