KUALA LUMPUR – Batik Air mengumumkan pembatalan penerbangan dari/ke Lahore, Pakistan serta Amritsar, India, hari ini dan esok susulan ketegangan yang berlaku di kedua-dua negara berkenaan.
Syarikat penerbangan itu dalam kenyataannya hari ini berkata, keselamatan penumpang dan kru merupakan keutamaan tertinggi syarikat.
Tambahnya, penerbangan yang terjejas adalah Kuala Lumpur -Lahore (OD 131) yang dijadualkan berlepas 5.35 petang serta Lahore- Kuala Lumpur (OD 132) yang berlepas 9.35.
Kedua-dua penerbangan itu melibatkan tarikh 7 dan 8 Mei (hari ini dan esok).
Manakala bagi destinasi ke India, penerbangan yang terjejas adalah Kuala Lumpur -Amritsar (OD 271) yang dijadualkan berlepas 6.40 petang ini serta Amritsar-Kuala Lumpur pada jam 11.05 malam nanti.
“Batik Air memantau rapat perkembangan semasa di sana dan dalam masa sama berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan bagi mendapatkan maklumat terkini.
“Kami akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini dari masa ke semasa. Kami memohon maaf di atas ketidakselesaan kepada penumpang dan menghargai kerjasama dari anda semua,” katanya.
Ketegangan di antara dua negara berjiran itu semakin meningkat khususnya selepas kedua-duanya melancarkan serangan udara rentas sempada awal hari ini.
Insiden berbalas tembakan di antara pasukan keselamatan India dan Pakistan turut dilaporkan berlaku di Kawalan Sempadan yang memisahkan wilayah Kashmir di kedua-dua negara. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Penerbangan dari Asia terpaksa ditunda, lewat akibat konflik India-Pakistan