MELAKA – Bayi lelaki berusia dua bulan yang disyaki didera sehingga koma akibat pendarahan dalam kepala oleh ibu bapanya malam Isnin lalu mulai sedar petang tadi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, bayi berkenaan yang masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Melaka mula menunjukkan perubahan positif sejak koma apabila dimasukkan ke PICU tengah malam Isnin lalu.
“Alhamdulillah walaupun masih lemah, bayi sudah sedar dan mula minum susu menggunakan tiub pukul 5 petang tadi,” katanya ringkas ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Media hari ini melaporkan pasangan suami isteri yang disyaki mendera bayi berkenaan sehingga kritikal di rumah Taman Seri Pelangi, Alor Gajah di sini malam Isnin lalu direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga 13 Mei ini terhadap kedua-dua suspek berusia 22 tahun itu dikeluarkan Hakim Haderiah Siri di Mahkamah Seksyen Ayer Keroh di sini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Semalam, media melaporkan anak tunggal pasangan itu parah akibat pendarahan dalam kepala, luka dan lebam disyaki didera kedua ibu bapanya yang tidak bekerja.
Sumber berkata, bayi dua bulan berkenaan dipercayai didera dengan cara dadanya ditumbuk selain badan dihempas ke lantai kerana kerap menangis.
Dzulkhairi dilaporkan berkata, kejadian terbongkar selepas ibu mangsa berusia 22 tahun menghantar anaknya itu ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri kononnya diserang sawan.
Mangsa bagaimanapun terpaksa dirujuk ke Hospital Melaka dan hasil imbasan CT doktor pakar mendapati kesan lebam, luka di badan dan leher serta pendarahan lama dan baru dalam kepala bayi terbabit.
Doktor kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki mangsa didera dan bayi berkenaan yang kritikal kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Melaka.
Bertindak hasil maklumat, polis menahan kedua-dua suspek di hospital sama malam tadi. – MalaysiaGazette