Tan Sri Dzulkifli Ahmad. Foto FAREEZ FADZIL, 05 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempersoalkan tindakan suruhanjaya tersebut yang memanggil semula Datin Seri Pamela Ling untuk direkod keterangan selepas wanita itu dibebaskan daripada reman.

Menurut Tan Sri Dzulkifli Ahmad, mengikut undang-undang seseorang itu tidak dibenarkan untuk dirakam keterangan dalam kapasiti yang sama selepas dia ditangkap, direman serta direkod keterangan sepanjang tempoh tersebut.

Tindakan itu boleh dilakukan sekiranya individu berkenaan diklasifikasikan semula sebagai saksi namun memerlukan kebenaran dan kelulusan bertulis daripada Timbalan Pendakwa Raya, jelas beliau.

“Adalah amat mengejutkan apabila dimaklumkan bahawa Pamela telah ditangkap dan direman oleh SPRM.

“Tindakan tersebut dengan jelas mengesahkan status sah beliau sebagai seorang suspek pada ketika itu.

“Namun, apa yang amat membimbangkan ialah selepas dibebaskan daripada reman, beliau kemudiannya telah dipanggil semula dan kenyataan beliau direkodkan tidak kurang daripada sembilan kali.  Perkembangan ini memerlukan penelitian yang serius,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dzulkifli berkata demikian sebagai respons kepada pendedahan peguam keluarga Pamela Ling, Sangeet Kaur Deo yang mendakwa isteri kepada Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu itu menerima tekanan berkaitan isu peribadi dengan suami walhal beliau sentiasa memberikan kerjasama dengan agensi berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/05/07/pamela-dakwa-ditekan-sprm-berkaitan-isu-peribadi-dengan-suami-peguam/

Tambah Dzulkifli, berdasarkan Akta SPRM dan prosedur undang-undang yang sedia ada, prinsip asas proses keadilan adalah kuasa untuk menangkap hanya harus digunakan apabila terdapat bukti yang mencukupi untuk menyokong pertuduhan secara formal.

Menurut beliau, penangkapan yang dilakukan terlalu awal iaitu pada peringkat siasatan masih berjalan—bukan sahaja boleh dianggap tidak wajar, malah boleh melanggar prinsip kedaulatan undang-undang dan keadilan yang asas.

“SPRM sewajarnya mencontohi pendekatan yang telah diguna pakai dalam kes-kes lain seperti siasatan ke atas Datuk Seri Ismail Sabri, di mana walaupun beliau adalah seorang suspek, beliau tidak ditangkap dan siasatan dijalankan hanya melalui rakaman kenyataan.

“Begitu juga dalam kes Vivy Yusof, walaupun beliau turut disiasat sebagai suspek, tiada penangkapan dilakukan semasa fasa siasatan, dan beliau hanya dibawa ke mahkamah selepas pertuduhan difailkan.

“Pendekatan seperti ini lebih seimbang dan sah dari segi undang-undang, dan seharusnya digunakan secara konsisten,” ujarnya lagi.

Tambah Dzulkifli, rangkaian peristiwa dalam kes Pamela, sekiranya benar, menimbulkan persoalan besar terhadap integriti prosedur dan kesahihan siasatan yang dijalankan.

Justeru menurut beliau, semua agensi penguatkuasaan termasuk SPRM perlu sentiasa mematuhi proses keadilan serta perlindungan undang-undang yang telah digariskan dalam undang-undang Malaysia, bagi memastikan tiada hak individu dicabuli atas nama siasatan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here