Fairul al-Qasas

KUALA LUMPUR – Desakan supaya Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan timbalan presiden hanya akan mengesahkan PKR merupakan parti anak-beranak.

Pemerhati politik yang juga aktivis PKR, Fairul al-Qasas berkata, persepsi sedemikian sudah pastinya tidak menarik kepada generasi muda apabila PKR tidak lagi dianggap sebagai parti inklusif sebaliknya eksklusif kepada anak-beranak.

Menurut bekas Ketua Penerangan Cabang PKR Kuala Krau, beliau sama sekali tidak menolak hakikat Nurul Izzah merupakan pemimpin senior, berpengalaman, memiliki perjuangan yang terbukti dan cukup terampil dalam soal pendidikan dan kepimpinan.

“Ya beliau layak. Sangat layak dan tidak patut dimangsakan hanya kerana beliau anak Presiden PKR. Tapi menguruskan persepsi juga wajib difikirkan.

“PKR tidak sewajarnya membenarkan parti ini dianggap eksklusif kepada pihak tertentu sahaja.

“PKR tidak akan kekurangan pemimpin hanya kerana dia (Nurul Izzah) tidak bertanding Timbalan Presiden PKR,” katanya menerusi laman sosial Facebook.

Menurut Fairul, sekiranya Nurul Izzah mengambil sikap berhenti dan bersabar seketika untuk jawatan timbalan presiden, PKR akan terus berkembang menjadi parti demokrat dan menarik sokongan anak muda.

“Tiba masanya Nurul Izzah akan memimpin parti. Masa akan menentukan tetapi bukan sekarang. Bukan ketika ayahnya masih berjawatan presiden,” katanya.

Mengulas mengenai desakan dan sokongan yang secara tiba-tiba muncul semalam supaya Nurul Izzah merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, Fairul menilai gerakan tersusun tersebut dicetuskan oleh beberapa pihak tertentu.

Antaranya, jelas beliau, daripada kumpulan yang tidak mahu penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggalas kedudukan nombor dua dalam parti tersebut.

Selain itu, katanya, gesaan itu juga dibuat kumpulan yang anti-Rafizi tetapi tidak mempunyai kekuatan untuk menentang Menteri Ekonomi berkenaan, justeru mencalonkan Nurul Izzah dengan harapan Rafizi berjaya disingkirkan.

Tidak mustahil juga gesaan itu juga lahir daripada kumpulan pro-Rafizi yang sedang tersepit dengan ketidaktentuan kedudukan pemimpin berkenaan lalu mencalonkan Nurul Izzah bagi menghalang Saifuddin Nasution.

Andaian terakhir pula, kata Fairul, pencalonan supaya Nurul Izzah bertanding itu adalah dibuat daripada kem anak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sendiri.

“Ini hanya bacaan politik saya. Mungkin betul dan mungkin salah.

“Namun pada pandangan saya di kala DSAI (Anwar) masih menjadi Presiden Keadilan, amatlah tidak sesuai untu Nurul Izzah menjadi timbalan presiden,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here