KUALA LUMPUR – Meskipun pelaksanaan dasar paparan harga ubat dilihat baik daripada sudut ketelusan pengguna namun terdapat banyak perkara teknikal yang tidak difahami oleh masyarakat umum.
Ia termasuk potensi kesan buruk terhadap kelangsungan doktor klinik swasta (GP) dan struktur kesihatan negara secara keseluruhan.
Pengamal perubatan di sebuah klinik swasta, Dr. Hazwani Abdul Raffar berkata, isu sebenarnya banyak yang tersembunyi di sebaliknya.
“Ramai menganggap isu ini mudah kononnya paparan harga ubat membolehkan pengguna banding dan pilih ubat paling murah tetapi seperti iceberg, banyak yang tersembunyi di bawah,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial hari ini.
Menurut Dr Hazwani, pelaksanaan dasar itu telah menimbulkan kekeliruan kerana Kementerian Kesihatan (KKM) didakwa mahu menguatkuasakan paparan harga ubat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) yang sebenarnya berada di bawah kawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“GP telah berada di bawah Akta 586 sejak sekian lama, kenapa tiba-tiba nak guna akta lain yang lebih sesuai untuk harga barang dapur dan petrol?.
“Tanpa garis panduan yang jelas, doktor boleh dikenakan penalti berat termasuk denda RM50,000 atau penjara,” tambahnya.
Lebih membimbangkan, jelasnya, ia adalah jurang harga yang wujud antara pembekal dan klinik.
“Klinik besar yang beli dalam kuantiti besar dapat diskaun tapi GP kecil kena beli pada harga lebih mahal. Bila harga ubat dipaparkan, pesakit mungkin runding di klinik kecil tapi beli ubat di tempat lain. Klinik kejiranan akan terjejas teruk,” ujarnya lagi.
Hazwani turut menekankan doktor GP sering terikat dengan syarikat insurans, pengendali pihak ketiga (TPA) dan pengurus penjagaan (MCO) yang menetapkan harga ubat serta kadar rawatan sekali gus menyukarkan penetapan harga secara bebas.
“Jika dasar ini diteruskan tanpa pertimbangan yang menyeluruh, klinik swasta akan pupus perlahan-lahan dan digantikan dengan klinik rantaian korporat.
“Rakyat pula akan menanggung fi tersembunyi atau mula diagnosis sendiri melalui internet kerana tak mampu bayar konsultasi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyentuh bagaimana sistem kesihatan negara kian merosot, bermula dengan sektor awam yang gagal mengekang kehilangan doktor muda, hingga ke dasar fi yang tidak disemak sejak berdekad.
“Fi konsultasi GP kekal RM10 hingga RM35 sejak 1992. Fi klinik kerajaan masih RM1 sejak 1979 sedangkan kos hidup naik mendadak. Tiada siapa berani ubah kerana takut tidak popular,” tegasnya.
Beliau turut menyelar naratif sesetengah pihak yang melabel doktor GP sebagai ‘penghisap darah’.
“Kami bukan kapitalis jahat. Kami bukan Big Pharma. Kami tulang belakang kesihatan rakyat. Jika dasar dibuat tanpa mendengar suara akar umbi, akhirnya sistem kita akan runtuh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette