BAYAN LEPAS – Tindakan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi dalam bilik berkunci menggunakan kata laluan khas akhirnya memakan diri apabila mereka dicekup dengan mudah oleh Jabatan Imigresen Pulau Pinang hari ini.
Tangkapan itu dibuat menerusi Op Sasar yang dilaksanakan di tapak pembinaan sebuah kilang di sini.
Mereka yang terdiri daripada warga Bangladesh itu disyaki menyembunyikan diri kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah.
Dalam operasi sama, seorang lelaki warga Singapura turut dikesan gagal menunjukkan permit kerja sebaliknya memberikan surat kepada pihak imigresen kononnya dia datang untuk bermesyuarat di tapak pembinaan kilang terbabit.

Menurut Pengarah JIM Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim, seramai 450 warga asing diperiksa dalam Op Sasar yang dijalankan pihaknya di dua tapak pembinaan kilang di Bertam dan Bayan Lepas.
Jelasnya, operasi bermula jam 10 pagi hingga 6 petang tadi bersama Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim, Kedah itu turut membawa kepada tangkapan 16 PATI.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada enam PATI warga Myanmar, Bangladesh (5), China (2), dan masing-masing seorang warga Singapura, India dan Pakistan.

“Rata-rata yang ditahan didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.
Tambah Nur Zulfa, kesemua yang ditahan dibawa ke depot tahanan untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette