KUALA LUMPUR – Gangguan atau salah laku oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Datin Seri Pamela Ling Yueh adalah dakwaan tidak berasas.
SPRM menerusi kenyataan berkata, agensi siasatan bebas tersebut bertindak mengikut undang-undang termasuk mendapatkan semua perintah mahkamah yang diperlukan serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Dalam pada itu, semakan kehakiman yang difailkan oleh Pamela Ling sebelum kehilangannya tidak menafikan atau membatalkan siasatan yang sedang dijalankan berhubung kesalahan yang disyaki.
“Cabaran perundangan adalah hak mana-mana individu tetapi ia tidak mengganggu perjalanan penguatkuasaan mengikut proses perundangan yang ditetapkan,” katanya.
Malah suruhanjaya berkenaan berkata, sejak kehilangan Pamela dilaporkan, pihaknya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini mengetuai siasatan tersebut.
Justeru SPRM berharap semua pihak mengelak spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Pada peringkat ini, keutamaan kita bersama adalah untuk memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa agar usaha mengesan dan membawa pulang Pamela dapat dijalankan dengan lancar, selamat dan secepat mungkin,” jelasnya.
Mengulas lanjut, SPRM mengesahkan Pamela dan suaminya Datuk Seri Hah Tiing Siu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dimulakan pada Mei 2024 di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Berdasarkan kronologi, SPRM pada 28 Mei tahun lalu telah membuka satu kertas siasatan, dan suami Pamela telah di panggil untuk memberikan keterangan kepada agensi berkenaan.
Dalam masa yang sama, SPRM turut memanggil wanita itu untuk memberi keterangan bagi tujuan melengkapkan siasatan.
Pada 2 Disember 2024, waran tangkap terhadap Pamela daripada Mahkamah Majistret Putrajaya atas kesalahan gagal mematuhi perintah menghadiri pemeriksaan bagi tujuan melengkapkan siasatan.
Pada 8 Januari 2025, satu tindakan operasi bersama pihak Corrupt Practices Investigation Bureau (CPIB) Singapura telah di lancarkan dan Pamela Ling telah ditahan secara sah dan dibawa pulang ke Malaysia.
Kemudian 9 Januari 2025, wanita itu di hadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman.
“Permohonan reman telah dibenarkan selama tiga hari iaitu dari 9 Januari 2025 sehingga 11 Januari 2025. Selepas tamat tempoh reman, beliau dilepaskan dengan ikat jamin SPRM,” katanya lagi.
Pada 9 April 2025, pihak SPRM telah meminta Pamela, 42, hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi meneruskan rakaman percakapan lanjutan maklumat-maklumat baharu yang diperolehi oleh SPRM.
“Berdasarkan maklumat ini, pihak SPRM juga telah mendapat izin dan perintah daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menahan dokumen perjalanan Pamela Ling Yueh melalui serahan Notis Penyerahan Dokumen Perjalanan Seksyen di bawah Seksyen 44 (1) Akta SPRM 2009,” tambahnya.
Bagaimanapun tambah SPRM, Pamela gagal hadir pada hari tersebut dan peguamnya kemudian membuat laporan polis mengenai kehilangannya pada hari yang sama.
Hari ini media melaporkan, peguam mewakili Wanita ang ilang itu
mendakwa Pamela menerima tekanan termasuk sekatan perjalanan sejak Oktober tahun lalu ketika disiasat berkaitan kes pengubahan wang haram.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Pamela dakwa ditekan SPRM berkaitan isu peribadi dengan suami – Peguam