RAUB – Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang gadis berusia 15 tahun yang dikatakan hilang daripada rumahnya di Jalan Gambang, Kuantan sejak kelmarin.
Mangsa bernama Putri Alya Husna Mohd Jabar kali terakhir dilihat bapanya pada jam 10.30 malam 5 Mei lalu semasa sedang makan di rumah mereka.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, bapa mangsa kemudian menyedari anak tunggalnya itu tidak berada di rumah pada jam kira-kira 3 pagi.
“Pengadu membuat laporan polis tentang kehilangan anaknya itu pada pukul 10.16 malam keesokan harinya kerana mangsa dikatakan pernah keluar rumah sebelum ini dan pulang semula,” katanya dalam kenyataan media.
Mangsa yang tidak bersekolah juga dikatakan tidak mempunyai telefon bimbit setelah dirampas bapanya kerana mangsa sering keluar rumah tanpa memaklumkan kedua ibu bapanya.
Tambah Wan Mohd Zahari, mangsa bertubuh kurus, berkulit cerah dengan ketinggian anggaran 160 sentimeter (cm) hingga 165 cm serta berambut lurus paras pinggang. – MalaysiaGazette