TANGKAK – Dua wanita berputih mata rugi lebih RM213,000 selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan dan cabutan bertuah dalam media sosial bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berkaitan penipuan tersebut semalam.
“Kes pertama melibatkan seorang wanita tempatan berusia 53 tahun yang menjadi mangsa penipuan pelaburan dikenali sebagai Wealth Accumulation Camp.
“Mangsa telah membuat transaksi kewangan berjumlah RM178,700 ke dalam dua akaun suspek antara Mac hingga April lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Roslan, bagi kes kedua pula melibatkan seorang wanita tempatan berusia 33 tahun yang diperdaya dengan tawaran cabutan bertuah dalam aplikasi Instagram.
“Mangsa dijanjikan ganjaran berupa wang tunai dan telefon bimbit jenama iPhone 16 Pro. Mangsa kemudian membuat enam transaksi kelmarin berjumlah RM34,695 ke dalam enam akaun bank berbeza milik suspek,” katanya.
Beliau memaklumkan, bahawa jumlah keseluruhan kerugian bagi kedua-dua kes itu adalah sebanyak RM213,395.
Kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta sebat dan denda jika disabit kesalahan.
Dalam pada itu, Roslan menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan serta cabutan bertuah yang tidak sah.
“Dapatkan maklumat terkini berkaitan modus operandi penipuan melalui laman sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial seperti Facebook, Instagram dan TikTok,” katanya.- MalaysiaGazette