KUALA LUMPUR – Malaysia telah bertindak mengenakan duti antilambakan ke atas pengimportan produk Polyethylene Terephthalate (PET) masing-masing dari China (2.29-11.74 peratus) dan Indonesia (37.44 peratus), berkuat kuasa pada hari ini.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataannya berkata tindakan itu susulan daripada pemuktamadan siasatan membabitkan dakwaan amalan dagangan yang tidak adil.
Siasatan antilambakan yang dimulakan pada 9 Ogos 2024, telah dijalankan di bawah Akta Duti Balas dan AntiLambakan 1993 dan peraturan yang berkaitan.
Kementerian mendapati dagangan subjek diimport ke Malaysia dengan harga lebih rendah daripada harga jualan di negara-negara yang didakwa, menyebabkan kemudaratan material kepada industri PET Malaysia yang mengeluarkan produk serupa.
“Kutipan duti antilambakan ini akan dikuatkuasakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia selama lima tahun mulai 7 Mei, 2025 hingga 6 Mei, 2030.
“Pengenaan duti antilambakan terhadap import dagangan subjek dari negara-negara tersebut dijangka akan menangani isu amalan perdagangan yang tidak adil,” katanya.
Menurut MITI, pihak berkepentingan seperti pengeluar tempatan, pengimport, pengeluar/pengeksport asing dan persatuan-persatuan berkaitan dengan penyiasatan boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit laporan penentuan muktamad dengan membuat permohonan secara bertulis kepada kementerian itu.
MITI juga menyifatkan langkah itu menekankan komitmen Malaysia untuk melindungi industri domestik daripada persaingan tidak adil.
— BERNAMA