RAUB – Empat pendatang asing tanpa izin (PATI) nekad lari ke dalam hutan dengan hanya berkain pelikat setelah menyedari kehadiran anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang di sebuah tapak pembinaan di Batu 3 di sini hari ini.
Bagaimanapun cubaan meloloskan diri itu gagal setelah berjaya dicekup dalam satu operasi bersasar yang dinamakan Ops Gempur Sasar yang dijalankan serentak di seluruh negara.
Pengarah JIM Pahang, Nursafariza Ihsan berkata, operasi tersebut melibatkan seramai 42 pegawai penguat kuasa yang memeriksa lebih 85 individu termasuk warganegara tempatan dan pemegang status penduduk tetap (PR).

“Daripada jumlah yang diperiksa, seramai 35 individu berusia lingkungan 21 sehingga 60 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya kepada pemberita.
Daripada jumlah tersebut, katanya, 16 daripada mereka yang ditahan itu akan disiasat di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.
Beliau berkata, sembilan individu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, manakala 10 lagi ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Nursafariza berkata, pihaknya turut mengeluarkan Borang 29 kepada kontraktor utama dan subkontraktor di tapak pembinaan berkenaan sebagai saksi untuk membantu siasatan lanjut.
“Kesemua yang ditahan kebanyakannya adalah warganegara Bangladesh dan Indonesia di mana mereka akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Kemayan, Bera untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.
Sebagai rekod, Ops Gempur Sasar merupakan operasi bersepadu besar-besaran yang dijalankan secara serentak di seluruh negara dengan memberi tumpuan kepada sektor pembinaan.
Sementara itu operasi penguatkuasaan di negeri Pahang dijalankan secara konsisten setiap minggu, dan seramai 1,203 PATI telah ditahan sejak awal tahun sehingga semalam.
“Bagi tempoh Januari hingga April tahun ini juga, sebanyak 58 majikan turut ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan imigresen,” tambah Nursafariza.
Jabatan Imigresen turut menggesa semua majikan supaya memastikan pekerja asing yang diambil bekerja mempunyai dokumen dan pas yang sah serta tidak melanggar syarat-syarat imigresen yang ditetapkan. – MalaysiaGazette