MUAR – Gara-gara tertarik dengan keuntungan sehingga 200 peratus dalam tempoh tiga bulan hasil skim pelaburan atas talian, seorang warga emas gigit jari apabila wang simpanannya hangus RM186,800.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa yang merupakan seorang pesara berusia 70 tahun pada mulanya melihat satu iklan mengenai pelaburan menguntungkan dalam Facebook pada Disember tahun lalu.
“Kemudian mangsa menekan satu pautan yang menghubungkannya ke dalam satu group perniagaan menerusi Whatsapp.
“Mangsa kemudian diberikan penerangan oleh seorang ahli dalam group itu bagaimana untuk melabur, jumlah modal dan keuntungan yang bakal diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak 200 peratus daripada wang modal yang dilaburkan dalam tempoh tiga bulan.
Berminat dengan tawaran dan pulangan yang menguntungkan katanya, mangsa membuat 14 transaksi ke dalam lima akaun berbeza sebanyak RM186,800 pada 25 Januari hingga 25 April lalu.
Mangsa ujarnya, diberikan satu pautan daripada laman satu web untuk menyemak keuntungan diperoleh dan mendapati pelaburan RM446,786.89 telah dimasukkan sepertimana yang dijanjikan.
Kata Raiz Mukhliz lagi, bagi menebus pulangan pelaburan mangsa diminta untuk membayar RM22,339.34.
“Mangsa mula curiga dan cuba menghubungi individu yang menawarkan pelaburan namun gagal. Mangsa mengalami kerugian RM186,800 yang mana itu merupakan wang simpanannya. Dia kemudian membuat laporan polis mendakwa telah ditipu,” ujar beliau.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan denda.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang sukar dipercayai dan mengambil langkah berhati-hati terutama dalam urusan melibatkan transaksi kewangan,” tambahnya.- MalaysiaGazette