Tertuduh Malkan Maha,28, yang juga tenaga pengajar di sebuah pusat tahfiz di Bukit Rambai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan meliwat anak muridnya, Februari lalu.

MELAKA – Seorang imam masjid warga Thailand mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan meliwat anak muridnya, Februari lalu.

Tertuduh Malkan Maha,28, yang juga tenaga pengajar di sebuah pusat tahfiz di Bukit Rambai membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Haderiah Siri.

Mengikut pertuduhan, guru agama itu didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan cara memasukkan kemaluannya ke dalam lubang dubur mangsa berusia 13 tahun tanpa kerelaannya.

Perbuatan itu berlaku di Solok Setulang Daing, Bukit Rambai di sini antara pukul 10 hingga 11 malam, 20 Februari lalu.

Jika disabit kesalahan, tertuduh yang masih bujang boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin dalam prosiding pendakwaan memohon beberapa syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh diminta tidak mengganggu mangsa yang juga saksi pendakwaan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri dua kali sebulan di balai polis.

Tertuduh yang diwakili peguam L. Sharveen bagaimanapun merayu jaminan yang rendah dengan mengambil kira faktor anak guamnya hanya menerima gaji sekitar RM1,500 sebulan sebagai tenaga pengajar di sebuah pusat tahfiz di Bukit Rambai.

Selepas mendengar hujaan kedua-dua pihak, Hakim Haderiah membenarkan tertuduh dijamin RM15,000 dengan dua orang penjamin warga Malaysia selain membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Tertuduh diarahkan melapor diri setiap 1 haribulan di balai polis berhampiran. Kes akan disebut semula 10 Jun ini.

MalaysiaGazette pada 23 April lalu melaporkan seorang imam warga Thailand direman tujuh hari selepas disyaki meliwat, seorang kanak-kanak lelaki di dalam masjid sejak berusia 10 tahun, tiga tahun lalu.

Laporan polis dibuat ibu mangsa berusia 35 tahun selepas anaknya berusia 13 tahun itu menghubunginya pada 14 April lalu untuk pulang dan tinggal bersamanya di Kuala Lumpur.

Ketika itulah, kejadian terbongkar apabila mangsa menceritakan menjadi mangsa cabul dan liwat guru agamanya yang juga imam dan ustaz sejak berusia 10 tahun sehinggalah dia di bawa berpindah ke sebuah masjid di Bukit Rambai, Melaka tahun lalu.

Suspek membawa mangsa tinggal bersamanya di masjid di Bukit Rambai kononnya untuk meneruskan pengajian di masjid berkenaan tanpa pengetahuan ibunya.

Bagaimanapun tiada sebarang pengajian dilakukan sebaliknya suspek hanya tinggal berdua dengan mangsa di dalam sebuah bilik masjid berkenaan dan suspek juga ditugaskan sebagai imam di masjid sama. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here