PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka memberi keterangan untuk kali kelapan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Kehadiran bekas Naib Presiden UMNO itu bagi membantu siasatan mengenai kes rasuah dan pengubahan wang haram termasuk pengisytiharan harta yang dihadapinya.
Terdahulu Perdana Menteri kesembilan itu kelihatan menaiki kenderaan jenis Audi berwarna hitam tiba di pekarangan pejabat pihak berkuasa itu pada pukul 10.55 pagi.
Ahli Parlimen Bera itu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia.
Kesalahan itu didakwa berlaku semasa beliau menggalas tugas sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – MalaysiaGazette