PASIR GUDANG – Pendaki rakyat Malaysia, Rennie Abdul Ghani, 57, yang maut selepas terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia pada Sabtu lalu selamat dikebumikan di sini hari ini.
Jenazah disemadikan pukul 7.20 pagiĀ di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah, Cahaya Masai dengan dihadiri lebih 150 ahli keluarga dan rakan-rakan.
Terdahulu jenazah disembahyangkan selepas solat Subuh diimamkan anak sulungnya, Mohamad Akashah Rennie di Surau Raudhatul Jannah, Taman Sierra Perdana di sini.
Allahyarham yang bekerja sebagai jurutera meninggalkan seorang balu, Mastura Tawap, 53 dan tiga anak iaitu Mohamad Akashah, 29; Syafaatul Amirah, 28 dan Anisa Sofea, 20.
Terdahulu, van jenazah yang membawa jasad allahyarham tiba di pekarangan rumah di D’Sierra Ville, Taman Sierra Perdana di sini sekitar pukul 3 pagi.
Jenazah allahyarham berlepas dari Lombok, Indonesia pada 6 petang sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira pukul 9.26 malam tadi.
Kelmarin, media melaporkan jenazah Rennie selamat dibawa keluar dari lokasi pada 8.30 malam pada Ahad lalu (waktu Malaysia) dan tiba di Hospital Bayangkara Mataram terbabit pukul 11 malam.
Allahyarham dilaporkan maut selepas terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani ketika melakukan pendakian di gunung berkenaan.
Pihak taman negara di kawasan berkenaan menjelaskan mangsa dilaporkan terjatuh di kawasan Banyu Urip oleh seorang jurupandu daripada agensi pendakian, Juan Adventure Rinjani.
Mangsa memulakan pendakian melalui laluan Sembalun pada 1 Mei bersama-sama kumpulan seramai 23 orang pendaki.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan pelbagai agensi membabitkan puluhan anggota daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Mataram, pasukan perubatan serta unit Pencarian Dan Pertolongan (SAR) Lombok Timur.- MalaysiaGazette