Tiong King Sing

KUALA LUMPUR – Dasar pengecualian visa bagi tempoh 90 hari kepada warga China memasuki negara ini merupakan langkah baik dan wajar disokong kerana ia menyuntik lonjakan baharu terhadap ekonomi negara.

Mempertahankan dasar itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, sektor seperti makanan dan minuman, logistik, hospitaliti dan perkhidmatan kini semakin menunjukkan peningkatan susulan dasar yang sama.

Menurutnya, dengan kemudahan perjalanan yang lebih baik kepada pelancong, sektor perniagaan tempatan turut mendapat lebih banyak peluang dan kumpulan pelanggan yang lebih luas.

“Sektor perniagaan tempatan kini sedang mendapat manfaat sebenar yang mana mereka sedikit demi sedikit bangkit daripada tekanan akibat pandemik Covid-19 dan mula beralih ke arah pemulihan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Beliau mengulas mengenai kebimbangan beberapa pihak berhubung dasar itu terutama kemungkinan terdapat segelintir individu yang menyalahgunakannya bagi tujuan menjalankan aktiviti perniagaan bertentangan dengan undang-undang.

Mengulas lanjut, King Sing berkata, isu warga asing menjana pendapatan secara haram bukan sahaja berlaku di Malaysia malah merupakan cabaran yang turut dihadapi oleh negara-negara lain di seluruh dunia.

Malah, ujar beliau, semua pihak juga harus mengakui kemungkinan bahawa warga tempatan sendiri mungkin terlibat dalam aktiviti serupa di luar negara.

“Oleh itu, fokus perbincangan ini seharusnya tertumpu kepada bagaimana kita boleh memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan untuk membanteras penglibatan warga asing dalam aktiviti komersial tidak sah di Malaysia bukannya mempersoalkan dasar pengecualian visa 90 hari atau mengetepikan manfaat ekonomi dan potensi pertumbuhan yang dibawa kepada perniagaan tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya tidak memutarbelitkan setiap dasar kerajaan terutama yang diperkenalkan dengan matlamat baik sehingga dilihat sebagai sesuatu yang negatif.

Jelasnya, perlu difahami penggubalan dasar adalah proses yang kompleks dan melibatkan kajian menyeluruh, penyelarasan antara agensi dan pelbagai peringkat sebelum keputusan muktamad dibuat.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan kemungkinan terdapat segelintir pihak akan menyalahgunakan kemudahan itu untuk menjalankan perniagaan dan meninggalkan negara tanpa membayar cukai yang sudah sudah pasti memberi kesan kepada pasaran tempatan.

“Namun tindakan yang wajar terhadap kesan sampingan ini ialah agensi penguatkuasaan perlu menggandakan usaha pemantauan dan mengenakan tindakan tegas ke atas pihak yang melanggar undang-undang sekaligus menghentikan kegiatan tersebut.

“Orang ramai juga perlu membantu pihak berkuasa dengan melaporkan kesalahan itu sekiranya mempunyai maklumat mengenainya,” katanya.

Sementara itu, menjawab kepada video yang tular di media sosial yang membayangkan seolah-olah ketibaan warga China secara besar-besaran ke Malaysia mungkin mendorong kerajaan menarik balik dasar pengecualian visa kepada warga China, King Sing telah menghubungi Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia dan meminta bantuan untuk menyiasat perkara itu secara menyeluruh bagi menjernihkan keadaan.

Media sebelum ini melaporkan Malaysia dan China telah bersetuju untuk melanjutkan program pengecualian visa bagi tempoh 90 hari secara bersama untuk tempoh lima tahun lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan persetujuan itu dicapai melalui memorandum persefahaman semasa kunjungan Presiden China, Xi Jinping ke negara ini baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here