Presiden MCW, Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadakan sidang media khas bersama bagi menjelaskan status siasatan dan langkah perlindungan saksi susulan kejadian yang menimpa Datin Seri Pamela Ling.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, kejadian melibatkan Pamela adalah sesuatu yang serius kerana memperlihatkan kemungkinan wujudnya cubaan sistematik untuk menghalang proses keadilan dan membuka ruang kepada unsur rasuah, ugutan dan jenayah terancang.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkuasa perlu menambah baik sistem perlindungan saksi termasuk Akta Perlindungan Saksi 2009 dengan pelaksanaan lebih ketat termasuk pengawasan digital, pengiring rasmi dan kerahsiaan lokasi untuk saksi penting kes rasuah berprofil tinggi.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa penubuhan Unit Saksi Berisiko Tinggi (USB) di bawah kerjasama SPRM, PDRM dan Jabatan Peguam Negara untuk menjamin keselamatan saksi dari awal hingga akhir proses pendakwaan.

“Sekiranya terbukti terdapat penglibatan dalaman dari mana-mana agensi penguat kuasa dalam insiden ini, tindakan tegas perlu diambil tanpa kompromi.

“Jika saksi pun tidak selamat, bagaimana mungkin rakyat boleh percaya kepada kecekapan sistem undang-undang?

“Integriti institusi negara tidak boleh digadaikan demi melindungi mana-mana pihak yang berkepentingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kehilangan Pamela hampir sebulan lalu yang disyaki diculik ketika dalam perjalanan untuk memberi keterangan kepada SPRM berhubung isu pengubahan wang haram mencetuskan misteri serta kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Beliau merupakan isteri kepada pengasas Kumpulan JoinLand, Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu, sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan dalam pelbagai sektor perniagaan di dalam mahupun luar negara.

Berdasarkan laporan, Pamela menggunakan perkhidmatan e-hailing Grab dari Jalan Cheras menuju ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya, pada pukul 1.29 petang.

Lokasi terakhir telefon bimbitnya dikesan berhampiran Lebuhraya MEX berdekatan Pusat Bandar Putra Permai.

Pada 2 Mei lalu, keluarga Pamela mengeluarkan kenyataan media, memohon bantuan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat mengenai keberadaan beliau.

Mereka memaklumkan kereta Grab yang dinaiki Pamela dipintas tiga kenderaan tidak dikenali dan dia diarahkan masuk ke salah satu dari kereta berkenaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here