KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti cadangan pembinaan sebuah bangunan persidangan baharu bertaraf antarabangsa di Bandar Malaysia bagi menggantikan kemudahan sedia ada yang dilihat kurang sesuai untuk kegunaan masa depan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu dicadangkan bagi menampung keperluan Malaysia yang berpotensi menjadi tuan rumah bagi lebih banyak persidangan peringkat antarabangsa pada masa akan datang.
“Kita mencadangkan supaya satu bangunan persidangan peringkat antarabangsa yang lebih baik dan lebih sesuai diadakan kerana Malaysia mungkin menjadi tuan rumah kepada beberapa persidangan besar di masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan perasmian penutupan Latih Amal Keselamatan Negara Kepengerusian ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), petang tadi.
Mohamad berkata, cadangan ini satu keperluan kerana Malaysia sedang membida untuk menganjurkan persidangan peringkat antarabangsa antaranya Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Persidangan Ketua-Ketua Negara/Kerajaan Komanwel (CHOGM).
Menurut Mohamad, dewan persidangan sedia ada telah digunakan sejak sekian lama dan perlu dikaji semula dari pelbagai aspek, khususnya dari segi keselamatan.
“Tempat ini (persidangan Kemuncak ASEAN di KLCC) pun dah lama dan kesesuaiannya perlu kita lihat dari segi pelbagai aspek, terutamanya keselamatan,” ujarnya lagi.
Jelas beliau, cadangan tersebut telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan mendapat maklum balas positif daripada Perdana Menteri serta Jemaah Menteri.
Kabinet menyambut baik cadangan oleh Kementerian Luar tersebut dan bersetuju untuk mengadakan kajian lanjut.
“Semua kementerian diminta memberi input masing-masing, termasuk daripada pihak keselamatan untuk memberi pandangan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamad menegaskan, cadangan ini masih berada di peringkat awal dan sebarang keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas semua pandangan diperoleh. – MalaysiaGazette