Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Johor terus menunjukkan peningkatan kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang membimbangkan dengan lonjakan 17.1 peratus lagi dalam tempoh seminggu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, sebanyak 1,687 kes direkodkan dalam Minggu Epid (ME) ke-18 tahun ini, berbanding hanya 1,441 kes pada minggu sebelumnya.

“Aliran jangkitan HFMD di Johor terus berada pada tahap tinggi dan meresahkan apabila ia telah melebihi paras amaran sejak awal tahun, dengan bilangan kes pada 2025 jauh lebih tinggi berbanding 2023 dan tahun lalu.

“Kumulatif kes HFMD Johor sehingga ME 18 2025 kini adalah sebanyak 11,551 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sebanyak 400 kes dikesan daripada 3,202 orang individu yang terdedah dengan julat kadar serangan dari 3.9 hingga 42.9 peratus.

Kluster HFMD pada ME 18 2025 pula membabitkan sebanyak lima kluster direkodkan menjadikan kumulatif sebanyak 79 kluster HFMD di Johor ketika ini.

“Kluster HFMD yang dilaporkan membabitkan 26 tabika, 20 pra sekolah, 18 taska, 13 tadika dan masing-masing sebuah sekolah rendah dan rumah persendirian,” katanya.

Tian Soon berkata, tindakan pencegahan seperti aktiviti disinfeksi premis, pendidikan kesihatan serta aktiviti pemantauan telah dan sedang dijalankan.

Selain itu katanya, terdapat dua surat amaran dikeluarkan pada 11 Mac lalu oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) kepada semua pengarah hospital, pegawai kesihatan selain pengusaha dan guru-guru taska, tadika dan prasekolah serta pengusaha taman permainan kanak-kanak di negeri ini.

“Majoriti kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak enam tahun ke bawah iaitu sebanyak 9,396 kes (81.3 peratus), diikuti oleh kumpulan usia 7 hingga 12 tahun iaitu sebanyak 1,853 kes (16.0 peratus)dan selebihnya adalah berusia 13 tahun dan ke atas.

“Memandangkan kebanyakan penularan berlaku di institusi penjagaan atau pendidikan kanak-kanak, JKNJ ingin menegaskan supaya semua pengusaha institusi mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko jangkitan.

“Ia termasuk amalan kebersihan diri serta kawalan infeksi termasuk memastikan membasuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak,” katanya.

Begitu juga katanya, sentiasa mengekalkan kebersihan sama ada di rumah, pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah, selain kekal mencuci semua alat mainan dan permukaan meja, kerusi dan lantai sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Beliau berkata, pelajar yang dikesan bergejala perlu diasingkan sementara menunggu ibu bapa atau penjaga membawa pulang atau mendapatkan rawatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here