KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sekali lagi memohon kebenaran agar Mahkamah Tinggi mengenakan perintah komital terhadap penulis blog, Papagomo dan seterusnya dipenjara kerana menghina mahkamah.
Razarudin berkata, permohonan maaf yang dibuat Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris pada 30 April lalu di mahkamah terbuka adalah tidak ikhlas dan tanpa penyesalan meskipun ia dibuat tanpa syarat.
Penulis blog itu sepatutnya menyiarkannya di platform YouTube, Tiktok dan X sekurang-kurangnya selama tujuh hari serta memadamkan kenyataan pada 14 Januari lalu serta imejnya yang disunting pada 15 Januari lalu.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan permohonan kali kedua selepas Papagomo gagal mematuhi perintah menghendaki beliau menyiarkan permohonan maaf tanpa syarat kepadanya dan mahkamah.

Razarudin memfailkan permohonan kebenaran berkenaan pada 5 Mei lalu secara ex-parte (sebelah pihak) melalui firma guaman Tetuan K.B. Tan, Kumar & Partners kerana Papagomo melanggar kedua-dua perintah berkenaan.
Beliau berkata, pada 1 Mei lalu kira-kira pukul 8.30 malam, Papagomo dengan sengaja menerbitkan dan menyebabkan penerbitan satu video dalam talian menerusi platfom sosial media di aplikasi Tiktok (Papa Azri) dan Youtube (Sir Azri).
“Kenyataan defendan itu adalah bertentangan dengan permohonan maaf secara bertulis yang sudah dipersetujui dan dibaca di mahkamah seperti dalam perintah komital.
“Permohonan maaf yang dibuat defendan pada 30 April lalu adalah tidak ikhlas dan tanpa penyesalan meskipun ia dibuat tanpa syarat.
“Berdasarkan kenyataan yang disiarkan dan diterbitkan oleh defendan dan kegagalan memadam terbitan video bertarikh 14 Januari 2025 dan 15 Januari 2025, defendan dengan ini melanggar perintah komital bertarikh 30 April lalu yang mana adalah satu penghinaan kali kedua kepada mahkamah ini,” katanya.
Razarudin berkata, penghinaan terhadap perintah komital oleh defendan boleh dikenakan prosiding komital untuk penghinaan mahkamah.
Mahkamah Tinggi di sini kemudian menetapkan 9 Mei ini untuk mendengar permohonan kebenaran berkenaan.
Kali pertama Razarudin memfailkan permohonan kebenaran bagi perintah komital terhadap Papagomo pada 24 Januari lalu dengan memohon supaya beliau dipenjara atau didenda kerana menghina mahkamah berikutan tidak mematuhi perintah injunksi pada 10 Januari lalu dengan membuat hantaran terhadap Razarudin di aplikasi YouTube, TikTok, X serta akaun Telegram.
Pada 31 Januari lalu, Mahkanah Tinggi membenarkan perintah injunksi melarangnya daripada menerbitkan kenyataan berbaur fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin, sehingga perbicaraan kes saman utama diputuskan oleh mahkamah.
Pada 26 Disember tahun lalu, Razarudin memfailkan saman fitnah dengan menuntut ganti rugi RM3 juta daripada Papagomo, berhubung kenyataan kurang sopan melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Papagomo pada 30 April lalu, mengemukakan permohonan maaf tanpa bersyarat kepada Razarudin dan Mahkamah Tinggi, berhubung kenyataan pad 14 Januari lalu dan penggunaan gambar imej KPN yang disunting pada 15 Januari lalu.
Susulan itu, mahkamah menerima pernyataan maaf berkenaan dengan syarat ia disiarkan dalam platform YouTube, Tiktok dan X yang disiarkan sekurang-kurangnya selama tujuh hari dan dikehendaki memadamkan kenyataan serta gambar terbabit bermula 30 April lalu. – MalaysiaGazette