KUALA LUMPUR – Penjaja belon, Muhammad Zaimuddin Azlan yang mengalami kecederaan susulan insiden kekecohan dengan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman telah memulakan proses menfailkan saman ke atas pegawai terlibat.
Peguamnya, Rafique Rashid berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada pihak DBKL bagi mendapatkan maklumat lengkap pegawai penguat kuasa terlibat dalam insiden itu sebelum membawa kes tersebut kepada pihak mahkamah.
“Hari ini kita telah secara rasmi menulis surat kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur,
kepada Pengarah Undang-undang dan Pendakwaan DBKL serta kepada Pengarah Bahagian Penguatkuasa DBKL untuk menyatakan bahawa saudara Zaimuddin (abang belon) telah secara rasmi memohon penama-penama pegawai penguatkuasa DBKL yang terlibat untuk dibekalkan nama dan pangkat.
“Kita merasakan ada keperluan mendesak untuk memulakan tindakan undang-undang sivil terhadap pihak pegawai berkenaan. Sama ada kita boleh buat notis tuntutan dulu atau kita boleh saman terus,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini, Muhammad Zaimuddin menafikan dia berlakon sebaliknya diberi sijil cuti sakit 48 hari oleh doktor kerajaan selepas insiden dikasari pada 28 Mac lalu.
Ketika itu, dia juga berhasrat mengambil tindakan terhadap DBKL atas kekasaran dialami dalam insiden itu yang berisiko menyebabkannya hampir lumpuh selepas mengalami kecederaan tulang.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/04/06/abang-belon-berisiko-lumpuh-kekal-doktor/
Mengulas lanjut, Rafique berkata, tindakan undang-undang itu dibuat selepas pihaknya mendapat laporan penuh perubatan anak guamnya yang dikeluarkan Hospital Serdang.
Katanya, laporan itu mengesahkan berlakunya kecederaan dialami anak guamnya akibat kejadian itu yang boleh membawa kepada risiko kepada lumpuh sebagai dilaporkan sebelum ini.
Menurut beliau, dengan laporan perubatan itu, ia sekaligus menafikan tuduhan kononnya
Zaimuddin hanya berlakon sakit dan sehingga kini anak guamnya masih memakai alat bantuan sokongan di badang.
“Kita juga sedia pertimbang untuk tindakan terhadap pengguna media sosial yang fitnah abang belon sama ada tentang saman malu, ganti rugi dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette