IPOH – Seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun ditahan oleh polis hari ini kerana disyaki mencuri pakaian dalam wanita di kawasan Menglembu di sini, selepas perbuatannya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV).
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek ditahan pada jam 11 pagi, susulan laporan yang dibuat oleh pemilik CCTV, seorang wanita berusia 45 tahun, semalam.
“Rakaman CCTV menunjukkan suspek menunggang motosikal dan berhenti di hadapan rumah sebelum mengambil beberapa helai pakaian dalam yang disidai berhampiran pagar rumah pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abang Zainal Abidin berkata suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau akan direman di Mahkamah Majistret Ipoh esok bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Terdahulu, rakaman video yang memaparkan tindakan lelaki tersebut mencuri pakaian dalam yang disidai di ampaian di Menglembu tular di laman sosial Facebook. – BERNAMA