SUNGAI PETANI – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan lain termasuk sebuah lori dalam kejadian di Jalan Bukit Selambau di sini semalam.
Pada kejadian pukul 8 malam itu mengakibatkan mangsa, K. Ganesh Kumar, 21, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 maut di lokasi kejadian susulan mengalami kecederaan pada kepada dan badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharudin Wan Ismail berkata, hasil siasatan yang dijalankan mendapati kemalangan berlaku semasa sebuah pacuan empat roda dipandu lelaki beusia 46 tahun bergerak dari arah Bukit Selambau menghala ke Sungai Petani telah memperlahankan kenderaan kerana ia jalan selekoh.

“Bagaimanapun, mangsa yang juga pengawal keselamatan yang datang dari arah yang sama tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang pacuan empat roda tersebut menyebabkan dia terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Pada masa yang sama sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 26 tahun tidak dapat mengelak lalu merempuh sisi kanan mangsa.
“Manakala sebuah kereta yang berada di belakang pacuan empat roda itu tidak sempat membrek lalu melanggar belakang kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Wan Azharudin, impak kemalangan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada kepala dan badan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala pemandu lori, pacuan empat roda serta kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan juga mendapati punca kemalangan disebabkan penunggang motosikal berkenaan gagal mengawal kenderaannya sehingga terbabas dan menyebabkan berlaku kemalangan,” katanya. – MalaysiaGazette