KUALA LUMPUR – Malaysia tidak boleh dilihat cenderung kepada mana-mana kuasa besar memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara perdagangan yang bergantung kepada hubungan dagang pelbagai hala dengan semua negara di dunia termasuk China dan Amerika Syarikat.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, pendirian berkecuali ini penting bagi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang diyakini dan boleh berurusan dengan semua pihak tanpa prejudis.
“Banyak untungnya (jadi negara berkecuali) bila dua negara ini bergaduh ataupun tidak bersama, jadi orang (negara luar) akan datang kepada kita.
“Jadi kita pastikan supaya Malaysia ini dilihat sebagai sebuah negara yang boleh menjadi negara boleh bercakap dengan mana-mana negara, itu yang kita letakkan pendirian kita,” katanya, hari ini.
Mohamad berkata demikian dalam ucapan ketika menyempurnakan majlis penutupan Latih Amal Keselamatan Negara Kepengerusian ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), petang tadi.
Menurut Mohamad lagi, dalam keadaan ketegangan antara negara-negara uasa besar, Malaysia boleh mengambil peluang sebagai negara yang dipercayai untuk menjadi pengantara atau rakan dagang yang neutral.
Katanya, ekonomi Malaysia yang berasaskan perdagangan menuntut kerajaan untuk menjaga hubungan baik dengan semua negara, tanpa terikat kepada mana-mana blok kuasa.
“Kita (Malaysia) menghantar wakil kita (berunding dengan Amerika Syarikat) iaitu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan jumpa dengan pihak mereka (Amerika Syarikat).
“Kita ambil maklum apa yang mereka fikirkan, kita akan balik ke sini, kita bincang dan kita akan bawa balik apa yang kita akan timbal balas dengan apa cadangan mereka, dan kita akan mula berunding apabila kedua-dua pihak tahu kehendak mereka,” tambah Mohamad.
Mohamad berkata menerusi perbincangan itu, Malaysia mengetahui apa yang dimahukan iaitu negara berkaitan mahu kurangkan jurang perdagangan.
“Ramai orang anggap bahawa China adalah rakan dagang terbesar kita, tetapi sebenarnya perdagangan dengan China tidak memihak pada Malaysia.
“Sebaliknya, AS walaupun hanya rakan dagang ketiga terbesar ia memberi kelebihan kepada kita. Kita ada lebihan perdagangan sebanyak AS$70 bilion dengan negara itu.
“Mereka mahu tahu bagaimana kita boleh kurangkan ketidakseimbangan perdagangan itu. Jadi, kita akan lihat bagaimana Malaysia boleh membeli lebih banyak dari AS dan dalam masa sama, bagaimana China pula boleh membeli lebih banyak dari kita. Tujuannya adalah untuk mengimbangi perdagangan kita,” katanya.
Jelasnya lagi, Kementerian Luar akan terus memainkan peranan dalam memperkukuh imej Malaysia di peringkat antarabangsa sebagai negara yang terbuka dan bersifat diplomatik.
Tambah beliau, dasar berkecuali ini juga sejajar dengan pendekatan ASEAN yang menekankan keamanan, kestabilan dan kerjasama serantau tanpa campur tangan kuasa luar.
“Kita mesti memastikan Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang boleh menjadi tuan rumah kepada apa jua persidangan peringkat antarabangsa.
“Oleh itu kita punya fungsi untuk menjaga keselamatan dan juga kelancaran apa juga persidangan yang bakal kita jadi tuan rumah pada masa-masa akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette