KUANTAN – Mantan Pesuruhjaya Pas Pahang yang berkhimat pada tahun 1993 hingga 1999, Mohd Baqi Othman telah meninggal dunia hari ini pada usia 84 tahun.
Menurut sumber, allahyarham telah menghembuskan nafas pukul 5 pagi tadi di Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM di sini.
Difahamkan jenazah allahyarham akan dimandikan Masjid Kampung Jengka, Batu 13 dan disembahyangkan Madrasah Darul Ridwan serta dikebumikan di Kampung Lanting dekat Chenor selepas Zohor hari ini.
Allahyarham antara ulamak di negeri ini dan merupakan penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1442H/2020M Negeri Pahang.
Sebelum ini, Pas pernah menganugerahkannya Tokoh Istiqamah Pas bersempena Muktamar Tahunan Pas kali ke 65 pada tahun 2019.
Beliau turut menerima Anugerah Tokoh Ulamak di Muktamar Dewan Ulamak Pas Pahang pada 2014.
Selain menjawat jawatan Pesuruhjaya Pas Pahang, beliau pernah menjadi Ahli Jawataqnkluasa Dewan Ulamak Pas Pusat, Ketua Dewan Ulama Pas Pahang dan Yang di-Pertua Pas Kawasan Maran.
Allahyarham Mohd Baqi dilahirkan pada 12 Julai 1940 di Kampung Kening, Chenor dan memiliki 11 cahaya mata.
Beliau mula belajar agama secara berkitab dan mendapat pendidikan awal di kampung halaman sebelum menyambung pengajian di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan selama 10 tahun.
Pada tahun 1968, beliau berangkat ke Mekah untuk mendalami ilmu agama di bawah asuhan para masyaikh terkenal seperti Syeikh Daud Sulaiman al-Kalantani, Syeikh Muhammad Alwi al-Maliki, Syeikh Hassan Masyath dan lain-lain.
Sepulangnya ke tanah air, beliau mendirikan pondok pengajian di Kampung Sungai Gau, Temerloh dan kemudian menubuhkan Madrasah Saadah al-Daraini atau lebih dikenali sebagai Pondok Lanting di Kampung Lanting, Chenor pada tahun 1978.
Allahyarham merupakan penemu kepada telaga air Gau di Temerloh pada tahun 1991.
Menurut sumber, beliau telah menemui sumber air itu setelah membuat solat hajat kerana pondoknya tiada bekalan air di mana pada suatu malam beliau telah bermimpi seseorang telah datang menunjukkan tempat supaya beliau menggali telaga.
Difahamkan air tersebut amat popular di Malaysia sampai sekarang.
Mohd Baqi merupakan seorang aktivis Pas yang aktif dan pernah tiga kali mewakili parti itu dalam pilihan raya umum di kawasan Dewan Undangan Negeri Chenor iaitu pada tahun 1990, 1995 dan 1999. – MalaysiaGazette