KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan mayat wanita yang ditemukan di tepi jalan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Awan Besar di Lebuhraya Kesas, bukan milik Datin Seri Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, mayat berkenaan merupakan seorang wanita berusia 44 tahun dari Menglembu, Ipoh.
“Mayat wanita yang telah dicampak dari sebuah di tepi jalan bukan Pamela Ling,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Pihaknya telah menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 2.58 petang semalam, selepas orang awam menghubungi talian kecemasan MERS 999.
Menurut saksi yang membuat panggilan kecemasan tersebut, dia mendakwa melihat seorang wanita tercampak atau terjatuh dari sebuah van yang sedang bergerak berhampiran RnR Awan Besar, menghala ke Petaling Jaya.
Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan wanita berkenaan telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai berketurunan Cina dan merupakan penduduk Menglembu, Ipoh.
Pihak polis kini sedang mengesan kenderaan yang terlibat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya. – MalaysiaGazettePam