GEORGE TOWN – Beberapa premis perniagaan di sekitar bandar raya ini dikenakan tindakan tegas oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas didapati meletakkan peralatan perniagaan seperti meja dan kerusi di atas jalan serta kaki lima sehingga mengganggu lalu lintas dan pergerakan pejalan kaki.
Operasi susulan yang dijalankan semalam itu memberi tumpuan kepada dua kawasan tumpuan yang sering menjadi lokasi pelanggaran peraturan pihak berkuasa tempatan.
Menurut kenyataan MBPP di Facebook hari ini, tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pemilik premis yang gagal mematuhi syarat lesen termasuk larangan menghalang kawasan awam seperti lot parkir dan laluan pejalan kaki.

“Tindakan ini dilaksanakan mengikut peruntukan Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang merujuk kepada halangan di tempat awam.
“Kita juga mengeluarkan pelbagai bentuk peringatan termasuk notis bertulis, amaran lisan dan kompaun sebelum mengambil langkah menyita peralatan terbabit.
“Semua barangan yang dirampas sebelum dibawa ke stor Jabatan Penguatkuasaan MBPP untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut,” kata kenyataan itu.
Tambah MBPP, tindakan sedemikian akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran laluan awam dan keselamatan orang ramai terpelihara. – MalaysiaGazette