Nur Rania perlukan sumbangan orang ramai untuk melakukan pembedahan jantung berlubang.

BUKIT MERTAJAM – Bayi perempuan berusia tiga bulan memerlukan bantuan sumbangan orang ramai berjumlah RM60,000 bagi menjalani pembedahan jantung.

Nur Rania Camilla Ahmad Syafiq dari Permatang Pauh di sini, merupakan penghidap masalah jantung berlubang sejak lahir.

Bapanya, Ahmad Syafiq Mohd Zuhari, 33, berkata, doktor mengesan kelainan pada diafragma Nur Rania Camilla sejurus dia dilahirkan sebelum ditahan di wad selama dua minggu akibat jaundis.

Katanya, bayi itu kemudiannya disahkan mengalami ‘ventricular septal defect’ (VSD), ‘patent foramen ovale’ (PFO) dan ‘atrial septal defect’ (ASD).

“Menurut doktor, jantungnya mempunyai dua lubang berukuran 0.2 milimeter (mm) dan 0.4 mm manakala saluran darah di jantungnya sempit menyebabkan dia mengalami sesak nafas semasa menyusu.

“Anak saya terpaksa diberi susu melalui tiub kerana jantungnya tidak mampu menanggung beban jika menyusu sendiri,” katanya hari ini.

Ibu bapa Nur Rania tidak mampu menanggung keseluruhan kos pembedahan tersebut.

Tambah Ahmad Syafiq, dia dan isteri, Nurul Amira Mohd Ali, 33, buntu kerana hanya mampu mengeluarkan RM20,000 untuk pembedahan itu hasil daripada wang simpanan serta bantuan keluarga dan rakan.

“Selepas dibenarkan keluar hospital, jantungnya semakin lemah dan dia berdepan risiko kegagalan jantung selain jangkitan bakteria berulang di dada.

“Keadaannya kini amat kritikal dan perlu menjalani pembedahan segera untuk menyelamatkan nyawanya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya berbesar hati untuk membantu mengumpul dana daripada orang ramai agar pembedahan dapat dilaksanakan segera.

“Kami akan mengumpul RM60,000 buat Nur Rania Camilla kerana pembedahan telah dijadualkan dilaksanakan hari ini.

“Bapanya bekerja sebagai eksekutif akaun, manakala ibu merupakan seorang pegawai pentadbiran yang terpaksa bercuti tanpa gaji.

“Pasangan itu juga turut membesarkan seorang lagi anak perempuan berusia 6 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (Nombor akaun: 3201428817) atau melalui laman web onehopecharity.org.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh hubungi talian 04-539 9212, 016-419 2192, 019-232 2192 atau 018-911 4192. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here