Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bukit Bintang, Firzan Hakimi.

KUALA LUMPUR – Pertembunganantara Datuk Seri Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution bagi jawatan Timbalan Presiden PKR membuka ruang kepada munculnya Nurul Izzah Anwar yang dilihat mampu meredakan ketegangan politik dalaman parti berkenaan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bukit Bintang, Firzan Hakimi menyifatkan Nurul Izzah sebagai calon ideal yang mampu menjadi ‘pendamai’ dalam persaingan dalaman yang semakin hangat menjelang pemilihan parti.

“Pertembungan dua tokoh ini perlu disulami dengan orang perantaraan yang benar-benar berpengaruh dan dapat menyatukan kedua-dua kem.

“Pada hemat saya, tokoh tersebut semestinya Nurul Izzah. Beliau lebih layak dan saya yakin beliau mampu memainkan peranan yang lebih penting pada kedudukan tersebut,” katanya dalam  kenyataan hari ini.

Menurut Firzan, kemenangan Nurul Izzah sebagai Ketua Cabang Permatang Pauh membuktikan kekuatan akar umbinya dan kemampuannya memimpin secara berkesan dalam parti.

“Pencalonan Nurul Izzah tidak wajar dilihat dari sudut nepotisme semata-mata kerana beliau telah menunjukkan prestasi cemerlang berdasarkan keupayaan dan merit.

“Saya pasti bahawa kesinambungan ini yang didambakan oleh sebahagian besar anggota Keadilan,” tambahnya.

Firzan menambah kehadiran seorang tokoh neutral dan diterima ramai seperti Nurul Izzah akan menjamin kestabilan serta hala tuju  lebih mantap untuk masa depan parti berkenaan.

Hal ini kerana masa depan parti pasca pemilihan memerlukan pemimpin yang tidak hanya bijak berstrategi tetapi mampu menyatukan kekuatan dalaman untuk berdepan cabaran nasional yang lebih besar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here