KUALA LUMPUR – PKR tidak boleh terus berada dalam keadaan tidak menentu berhubung kedudukan timbalan presidennya menjelang pemilihan parti, tegas Pengarah Strategi Keadilan Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad.
Beliau yang menyatakan sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah Anwar dan menganggap Nurul Izzah calon alternatif yang berwibawa, teruji dan diterima akar umbi.
Menurut Saifuddin yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, desakan terhadap pencalonan Nurul Izzah bukan datang secara tiba-tiba sebaliknya bermula selepas timbul spekulasi bahawa penyandang jawatan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan pasukannya kecewa dengan keputusan pemilihan peringkat cabang.
“Saya faham bagaimana awalnya timbul desakan untuk mencadangkan agar Nurul Izzah diangkat ke kerusi Timbalan Presiden PKR.
“Walaupun Rafizi telah mengumumkan niat untuk mempertahankan jawatan tersebut pada Mac 2025 namun langkah beliau mengambil cuti daripada Kabinet hanya menguatkan spekulasi beliau tidak berminat mempertahankan jawatan.
“Tidak ada kenyataan penafian yang kukuh dibuat sehingga menyebabkan anggota Keadilan menjadi resah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pencabar terdekat Rafizi iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga belum menyatakan pendirian sama ada akan mencabar semula atau tidak menyebabkan anggota terus tertanya-tanya selama berbulan-bulan.
“Ini soal kerusi nombor dua parti dan parti ini adalah tunjang Kerajaan Perpaduan. Jika ikut tradisi kerajaan UMNO – BN terdahulu, berada di kedudukan ini bermakna berada di kedudukan kedua dalam hierarki kerajaan. Terlalu banyak desas-desus dan ketidaktentuan pasti meresahkan anggota parti yang penuh bersemangat,” tegasnya.
Saifuddin menegaskan, kejelasan dan ketegasan perlu menjadi asas kepada sebarang tindakan politik pada tahap berkenaan.
Katanya, penting sekali, dalam politik Keadilan hari ini, tidak ada ruang langsung untuk ketidaktentuan jika berada dalam jawatan penting perlu nekad dan tekad.
Beliau berkata, usul untuk mencalonkan Nurul Izzah timbul daripada akar umbi dan mendapat dokongan ramai pimpinan yang percaya kepada kemampuan serta pengalamannya.
“Saya rasa proses ini adalah murni dan tidak ada salahnya. Nurul Izzah Anwar bukan orang baru malah amat layak kalau diukur berdasarkan pengalamannya.
“Pun begitu, beliau mengakui segalanya akan ditentukan apabila talian pencalonan dibuka bermula tengah malam ini. Adakah Rafizi akan tetap mempertahankan ataupun adakah Saifuddin Nasution Ismail akan mencabar akan terjawab dalam masa 48 jam masa yang diberikan.
“Namun akibat pengesahan yang dibungkamkan, timbul nama yang ketiga dan nampaknya akar umbi menyambut baik serta telah bersedia untuk mengangkat beliau,” ujarnya.
Menurut Saifuddin, jika Nurul Izzah terpilih kelak, ia adalah kerana sokongan majoriti anggota parti yang sah bukan lantikan atau hasil kompromi.
“Parti ini unik dan dinamik. Jika Nurul Izzah dipilih, ia adalah suara majoriti daripada 30,000 yang layak mengundi. Ini bukan timbalan presiden yang ditunjuk oleh siapa-siapa melainkan yang memang telah teruji dan terbukti. Inilah yang anggota Keadilan mahukan sebuah keberanian mendepani realiti kepimpinan.
“Saya menyokong penuh keputusan Datuk Seri Amirudin Shari dan 18 Ketua Cabang Selangor yang menyokong pencalonan Nurul Izzah.Sebagai negeri yang mempunyai keanggotaan dan perwakilan terbesar, kami meyakini keputusan ini adalah keputusan yang terbaik dan wajar,” ujarnya. – MalaysiaGazette Nurul Izzah