KUALA LUMPUR – Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi penggal 2025–2028 semakin hangat apabila satu lagi pencalonan utama mula menampakkan sokongan penuh di peringkat negeri.
Selepas Johor dan Selangor, PKR Wilayah Persekutuan secara rasmi menyatakan sokongan penuh terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu.
Sokongan tersebut diumumkan melalui kenyataan bersama yang ditandatangani oleh 14 Ketua Cabang dari seluruh Wilayah Persekutuan, termasuk tokoh-tokoh berprofil tinggi termasuk Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Datuk Azman Abidin (Bandar Tun Razak), serta pelakon dan aktivis Datuk Afdlin Shauki (Setiawangsa).
Dalam kenyataan media itu, mereka menyifatkan Nurul Izzah sebagai “Puteri Reformasi” yang telah lama menabur bakti dalam perjuangan parti sejak era awal Reformasi 1998.
Malah, peranan aktif Nurul Izzah dalam menggerakkan kempen “Ayuh Malaysia” serta usaha menyatukan kekuatan dalaman parti dilihat sebagai antara aset terpenting menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
“Situasi cabaran serta perubahan landskap politik semasa menuntut satu langkah berani dalam memperkukuh KEADILAN sebagai parti utama pentadbiran negara. Sokongan ini bukan atas dasar nostalgia, tetapi atas kapasiti dan integriti beliau sebagai pemimpin masa depan,” menurut kenyataan itu.
Artikel berkaitan:
- Tidak Timbul Isu Nepotisme, Nurul Izzah Sekarang Naib Presiden – Fahmi Fadzil
- Tak pernah wujud nepotisme dalam PKR – Fahmi
Sokongan ini turut memberi petunjuk jelas perebutan jawatan Timbalan Presiden kali ini bakal menyaksikan persaingan sengit antara tokoh generasi reformasi.
Nurul Izzah, yang juga anak sulung kepada Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyandang jawatan Naib Presiden dan digelar antara ‘wajah masa depan’ parti.
Blok Wilayah Persekutuan dilihat antara kumpulan berpengaruh dalam struktur akar umbi PKR, dan pendirian mereka mampu memberi kesan besar dalam penentuan hala tuju kepimpinan tertinggi parti.
Nurul Izzah dalam kenyataan ringkas hari ini belum menyatakan pendirin sama ada akan bertanding jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi.
Katanya, beliau akan memberi keputusan terbaik mengimbangkan antara kesepakatan, jalinan dengan persahabatan dan perubahan serta reformasi bermakna buat semua anggota.
Kata putus yang akan diberikan juga, menurut beliau, bukan untuk mana-mana individu tetapi demi usaha membina masa depan PKR secara bersama di kala suka dan duka.
Sementara itu Rafizi dalam kenyataan panjang lebar menyatakan kesediaan untuk mempertahankan jawatan tersebut dan jika tidak terpilih beliau akan menjalankan tanggungjawab di peringkat akar umbi.
Seorang lagi pemimpin yang disebut-sebut bakal bertanding jawatan timbalan presiden ialah Datuk Seri Saifuddin Nasution.
Pemilihan PKR kali ini dijangka menjadi medan penting dalam menilai hala tuju pasca kemenangan Pakatan Harapan pada PRU ke-15, khususnya dalam mempersiapkan jentera dan kepimpinan menjelang PRU akan datang. – MalaysiaGazette