Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang bersedia melaksanakan pelan pembangunan berimpak tinggi di 7 stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata keputusan itu berdasarnya hasil daripada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Berorientasikan Transit (Transit Oriented Development – TOD) di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, semalam.

Perancangan tersebut katanya memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam dalam lingkungan radius 15 kilometer dari setiap stesen ECRL yang dijangka akan memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.

“Dengan pelaksanaan Projek Pemecut Ekonomi (Economic Accelerator Project – EAP)
serta pembangunan TOD secara strategik dan mampan, Kerajaan Negeri meletakkan
sasaran untuk menjadikan kawasan sekitar stesen ECRL sebagai pusat pertumbuhan
baharu yang inklusif dan berdaya saing.

“Empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan Majlis Daerah Maran (MDM) telah diberi tanggungjawab untuk merangka pelan tindakan pembangunan EAP dan TOD di kawasan masing-masing, dengan penekanan kepada manfaat nyata kepada penduduk tempatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya komponen pembangunan yang dikenal pasti meliputi pelbagai aspek seperti pembinaan Pangsapuri Pahangku, Inland Port, pusat pentadbiran dan pusat
komersial, hotel dan kompleks perniagaan, pembangunan bercampur, institusi dan
kemudahan masyarakat, utiliti dan infrastruktur perumahan dan sebagainya.

Antara 13 cadangan projek spesifik yang diketengahkan oleh PBT termasuklah:
pembangunan semula Tasik Paya Bungor Eco Park di Gambang; peningkatan dan penjenamaan semula Gambang Water Park; pembinaan Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu Paya Besar; penyediaan tapak pusat pengurusan sisa bersepadu; pembangunan Maritim Hab di Tanjung Gelang.

Selain itu cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan
pembangunan Bandar Aeroangkasa; pembangunan Smart City di Daerah Temerloh; cadangan Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) dan Loji Janakuasa Biogas
di Maran; cadangan Penubuhan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC).

Ia termasuk cadangan Tapak Pusat Pengumpulan Hasil Kelapa Sawit, Pertanian dan Sumber Mineral; cadangan Pembangunan kawasan Eko Pelancongan di Hutan Simpan Paya Pasir; Pembinaan Terminal Bersepadu Bentong; serta projek Pembangunan Gerai Berangkai Bentong.

Wan Rosdy berkata Kerajaan Negeri yakin bahawa pelaksanaan projek-projek berkenaan bukan sahaja akan memacu pertumbuhan ekonomi, malah mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan taraf hidup rakyat serta memperkukuh jaringan mobiliti dan akses perkhidmatan di kawasan luar bandar dan bandar.

Inisiatif menyeluruh ini merupakan satu langkah proaktif dan bersifat masa hadapan
yang akan menyokong pembangunan Negeri Pahang secara holistik, seimbang dan
mampan demi kemakmuran dan kesejahteraan semua. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here