KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili keluarga Datin Seri Pamela Ling Yueh mendakwa wanita itu menerima tekanan termasuk sekatan perjalanan sejak Oktober tahun lalu ketika disiasat berkaitan kes pengubahan wang haram.
Sangeet Kaur Deo berkata, anak guamnya mendakwa menerima tekanan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu peribadi dengan suami walhal dia sentiasa memberikan kerjasama dengan agensi berkenaan.

Kata peguam itu, selain diarah melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan, Pamela, 42, telah lapan kali hadir di pejabat agensi berkenaan.
“Lebih mengejutkan, kehilangan Pamela berlaku pada hari kesembilan dia dijadualkan hadir membantu siasatan.
“SPRM menggunakan kuasanya untuk menekan Pamela bagi menyelesaikan isu peribadi dengan suaminya, bukan membantu siasatan untuk tujuan yang sah,” dakwa Sangeet dalam kenyataannya hari ini.
Sehubungan itu, peguam itu berkata, Pamela memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan SPRM menjalankan siasatan tanpa mengikut undang-undang.
Semakan kehakiman itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 7 April lalu iaitu dua hari sebelum kehilangannya.
Dalam kenyataan itu, Sangeet yang bertindak atas kapasiti mewakili keluarga Pamela menyatakan anak guamnya disiasat berkaitan kes di bawah Akta SPRM dan Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Meskipun tidak pernah didakwa atas sebarang kesalahan, peguam ini mendakwa, corak layanan SPRM terhadap Pamela amat luar biasa dan tidak selari dengan layanan yang sewajarnya diberikan kepada seorang saksi yang membantu siasatan.
Menurutnya, kali terakhir beliau dilihat ialah berhampiran pejabat SPRM di Putrajaya pada 9 April lalu sehinggalah timbul dakwaan ada pihak menyamar sebagai pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahannya pada hari kejadian.
Bagaimanapun, Sangeet Kaur berkata, PDRM belum memberikan penjelasan sama ada terdapat arahan rasmi untuk menahan Pamela.
Katanya, jika tiada arahan dikeluarkan, maka jelas penahanan itu dilakukan oleh pihak yang menyamar sebagai penguat kuasa.
Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM pada 9 April lalu manakala polis menerima laporan berhubung kehilangannya pada 3.02 petang hari sama.
Sementara itu, adik mangsa, Simon Ling Wan Siong memaklumkan, Pamela telah menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada peguamnya pada pukul 1.57 tengah hari dengan mengatakan dirinya dalam perjalanan ke SPRM di Putrajaya dengan menaiki kereta perkhidmatan e-hailing.
Keluarga dan peguamnya cuba menghubungi mangsa selepas pukul 2 petang namun panggilan telefon dan pesanan WhatsApp tidak berbalas. – MalaysiaGazette